Badan Peguam Malaysia memohon perintah mahkamah bagi memaksa Jabatan Peguam Negara (AGC) mendakwa semula Ahmad Zahid Hamidi.
Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan mengklasifikasikan kes rasuah melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Perkara itu dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke Yee Ching hari ini.
Badan Peguam sebelum ini memfailkan permohonan dengan menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid sebagai responden.
Mereka memohon supaya keputusan NFA yang dibuat pada 8 Januari lalu diisytiharkan tidak sah dan terbatal, selain mendakwa Peguam Negara melangkaui bidang kuasa dalam membuat keputusan tersebut.
Kes itu mendapat perhatian meluas sejak beberapa tahun lalu selepas Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan melibatkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Namun, AGC memutuskan tiada tindakan lanjut selepas meneliti keseluruhan bahan siasatan serta keterangan baharu yang diperoleh.
Menurut AGC, siasatan lanjut dan terperinci turut dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk meneliti sumber dana, kaedah perolehan dan penggunaan wang yayasan berkenaan.
Dalam prosiding sama, Nurhafizza berkata pihak AGC juga akan memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mei lalu yang membenarkan rayuan Badan Peguam berkaitan penghentian prosiding kes tersebut.
Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan kes itu perlu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran substantif semakan kehakiman.
Sementara itu, peguam mewakili Ahmad Zahid, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman berkata pihaknya turut akan memfailkan permohonan sama di Mahkamah Persekutuan.
“Oleh itu, pihak kami memohon supaya prosiding semakan ini digantung sementara menunggu perkembangan rayuan di Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Mahkamah Tinggi kemudian menetapkan 30 Jun depan untuk memutuskan sama ada permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh Badan Peguam itu akan diteruskan atau digantung sementara menunggu keputusan rayuan.
Polis rakam keterangan Tony Pua petang tadi selepas 77 terima laporan
Sidang khas pada 24 Jun mungkin berkaitan bubar DUN Johor: Hassan Karim
Jangan mainkan isu Raja dan agama demi kepentingan politik: Amirudin
Malaysia aman jika tiada DAP: Dewan Ulama PAS
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi