Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali juga sebagai Papagomo.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan blogger kontroversi Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris membayar ganti rugi keseluruhan RM280,000 kepada Lim Guan Eng dan anak lelakinya selepas didapati memfitnah mereka menerusi hantaran Facebook enam tahun lalu.
Hakim Roslan Mat Nor membuat keputusan itu selepas membenarkan saman yang difailkan Guan Eng bersama anaknya, Clint Lim Way Chau, berhubung dakwaan bahawa Way Chau ditahan di Lapangan Terbang Changi, Singapura kerana membawa wang tunai RM2 juta tanpa membuat pengisytiharan.
“Mahkamah memerintahkan defendan membayar ganti rugi global RM200,000 dan kos RM30,000 kepada plaintif pertama serta RM80,000 dan kos RM10,000 kepada plaintif kedua,” kata hakim ketika menyampaikan keputusan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Saman tersebut difailkan pada 19 April 2020 selepas Papagomo didakwa memuat naik kenyataan berunsur fitnah di Facebook menggunakan nama “Papa Azri” pada 14 Mac tahun sama.
Dalam hantaran itu, Papagomo mendakwa Way Chau ditahan di Singapura pada 29 Februari 2020 kerana membawa wang tunai RM2 juta tanpa pengisytiharan, selain mendakwa Guan Eng bergegas ke republik itu selepas kejadian berkenaan.
Guan Eng menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan kenyataan itu sebagai palsu serta mencemarkan reputasi dirinya dan keluarga.
Kes berkenaan mendapat perhatian ramai ketika negara berdepan ketegangan politik pada 2020, susulan perubahan kerajaan Persekutuan selepas kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan.
Pada waktu itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan sering menjadi sasaran serangan politik di media sosial.
Keputusan mahkamah hari ini dilihat sebagai kemenangan penting buat Guan Eng dan anaknya dalam usaha membersihkan nama mereka daripada tuduhan yang tular di media sosial.
Sidang khas pada 24 Jun mungkin berkaitan bubar DUN Johor: Hassan Karim
Jangan mainkan isu Raja dan agama demi kepentingan politik: Amirudin
Polis akan panggil Tony Pua selepas terima 59 laporan seluruh negara
Tiada PRK Pandan, Setiawangsa meskipun sudah disahkan kosong: SPR
Asyraf bidas Pua langgar garis merah selepas berbalas kritikan isu Selangor
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi