Misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Kerajaan Malaysia mendesak siasatan bebas dan telus dijalankan berhubung dakwaan layanan kasar terhadap aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza sebelum ditahan tentera Israel baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan, kebajikan dan hak rakyat Malaysia di luar negara, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa serta nilai kemanusiaan sejagat.
“Kerajaan menuntut supaya kebajikan, maruah dan hak perundangan semua aktivis yang ditahan dihormati serta dilindungi sepenuhnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Beliau berkata demikian susulan dakwaan beberapa aktivis berdepan layanan fizikal kasar, intimidasi dan penafian hak asas ketika ditahan selepas menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Menurut Saifuddin, kerajaan juga menyeru usaha diplomatik diteruskan secara konsisten bagi mengelakkan ketegangan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kestabilan antarabangsa.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita amat prihatin apabila timbul dakwaan melibatkan layanan fizikal yang kasar serta penafian hak-hak asas terhadap aktivis yang terlibat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan beberapa organisasi hak asasi manusia dan wakil perundangan sedang mengumpulkan testimoni serta bukti berkaitan insiden berkenaan.
GSF 2.0 merupakan misi kemanusiaan antarabangsa yang bertujuan menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza yang terus berdepan krisis kemanusiaan akibat konflik berpanjangan di wilayah itu. Misi berkenaan disertai aktivis dari pelbagai negara termasuk Malaysia.
Seramai 28 rakyat Malaysia yang menyertai misi itu dilaporkan selamat tiba di tanah air pada Isnin lalu selepas dibebaskan.
Bagaimanapun, seorang lagi aktivis Malaysia, Razman Mat Ali, masih berada di Istanbul, Turkiye untuk menerima rawatan selepas mengalami traumatic pneumothorax atau paru-paru bocor akibat dipercayai dipukul ketika insiden tersebut.
Saifuddin berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan kes itu secara rapat bagi memastikan kepentingan dan keselamatan rakyat Malaysia sentiasa diberi keutamaan.
Isu Gaza terus mendapat perhatian masyarakat antarabangsa susulan konflik yang berlarutan sejak sekian lama, selain peningkatan kebimbangan terhadap keselamatan sukarelawan dan aktivis kemanusiaan yang terlibat dalam usaha membantu penduduk Palestin.
Anwar mahu kementerian berjimat hadapi tekanan ekonomi global
SPRM teliti dakwaan penyelewengan projek naik taraf Stadium Bukit Jalil
Najib fail bukti baharu dalam rayuan kes 1MDB
Subsidi BUDI95: MoF beri amaran salah guna MyKad tanpa kebenaran
Baucar buku RM100 diteruskan untuk pelajar bagi galakkan budaya membaca: PMX
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi