Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mahu Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah terus diberi ruang memimpin kerajaan negeri sehingga tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 tanpa gangguan politik.
Baginda bertitah, kestabilan pentadbiran amat penting bagi memastikan segala perancangan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar demi kepentingan rakyat.
“Beta berharap agar Menteri Besar diberikan ruang untuk terus memimpin sehingga ke akhir penggal Dewan Undangan Negeri yang ke-15 tanpa sebarang kacau ganggu yang akan merencatkan segala perancangan yang telah dirangka,” titah baginda.
Titah itu dibacakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika merasmikan Persidangan Keempat DUN Perlis ke-15 di Kompleks Seri Putra, pada Rabu.
Pada masa sama, baginda turut mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya mengenepikan perbezaan politik dan memberi kerjasama penuh kepada kerajaan negeri demi kestabilan pentadbiran.
Menurut baginda, sebarang perbezaan pandangan atau pertelagahan perlu diselesaikan secara harmoni dan berhemah kerana kestabilan politik memainkan peranan besar dalam meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Perlis.
“Kestabilan politik merupakan satu kriteria yang sangat penting yang akan memberi kesan kepada keyakinan pelabur untuk melabur di negeri ini,” titah baginda lagi.
Baginda turut menegaskan setiap dasar dan keputusan kerajaan perlu berteraskan kepentingan rakyat serta memastikan pembangunan yang seimbang meliputi aspek ekonomi, sosial dan kesejahteraan hidup.
Selain itu, Tuanku Syed Sirajuddin mengingatkan kemajuan negeri bukan hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan usaha rakyat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan daya saing ekonomi.
Baginda juga mahu sidang DUN dimanfaatkan sebagai medan membincangkan idea bernas untuk pembangunan negeri dan bukannya platform pertelagahan politik.
“Berhujah dan berbahaslah dengan penuh kebijaksanaan tanpa terpengaruh dengan desakan emosi. Sentiasalah beringat bahawa generasi muda sedang memerhatikan setiap gelagat Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,” titah baginda.
Sidang DUN Perlis kali ini mendapat perhatian susulan desas-desus kemungkinan berlaku usul undi tidak percaya terhadap Abu Bakar membabitkan beberapa wakil rakyat PAS.
Abu Bakar dilantik sebagai Menteri Besar Perlis selepas Pilihan Raya Umum ke-15 apabila Perikatan Nasional berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti besar di DUN Perlis.
DAP Johor nafi senarai calon PRN tular
PAS didakwa sudah muktamad untuk cerai dengan Bersatu, ‘stim’ dengan Hamzah: Sumber
AMK Johor persoal keperluan bubarkan DUN, PRN telan belanja besar
Parti baharu Rafizi sahkan sertai PRN Johor
AMK yakin PH mampu beri saingan sengit di Johor
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi