Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menegaskan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim, merupakan tokoh reformasi sebenar yang sedang memacu perubahan institusi negara menerusi pelbagai pembaharuan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad berkata dakwaan atau gambaran kononnya bekas pemimpin PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad merupakan pejuang reformasi utama adalah tidak tepat kerana kedua-duanya pernah berada dalam kerajaan dan menyaksikan sendiri pelaksanaan agenda reformasi yang sedang berjalan.
Menurut beliau, proses reformasi bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam masa singkat, sebaliknya memerlukan ruang dan tempoh yang sesuai untuk dilaksanakan secara berperingkat.
“Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sendiri pernah berada dalam kerajaan dan melihat sendiri bahawa proses reformasi sedang berjalan serta memerlukan ruang dan masa untuk dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, antara langkah reformasi yang telah diperkenalkan kerajaan ialah penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang bertujuan memperkukuh disiplin kewangan negara serta memastikan pengurusan fiskal yang lebih bertanggungjawab.
Selain itu, katanya, kerajaan turut melaksanakan pelbagai pembaharuan lain termasuk memperkasa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, meningkatkan ketelusan dalam perolehan kerajaan dan melaksanakan subsidi bersasar bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Usaha memperkukuh institusi kehakiman dan membanteras rasuah juga merupakan sebahagian daripada agenda reformasi yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.
Anwar sering dikaitkan dengan perjuangan reformasi sejak gerakan itu tercetus pada 1998 selepas pemecatannya daripada kerajaan ketika itu.
Gerakan berkenaan memperjuangkan perubahan institusi, kebebasan badan kehakiman, tadbir urus yang lebih baik serta usaha membanteras rasuah dalam pentadbiran negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Faezuddin turut mengulas pendirian Parti Bersama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau menyifatkan kenyataan parti itu yang enggan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai tidak realistik dalam landskap politik semasa.
“Dalam realiti politik Malaysia hari ini, tidak ada mana-mana parti yang boleh mendominasi secara bersendirian. Kenyataan seperti itu dilihat sombong dan menutup ruang rundingan serta kerjasama politik demi kestabilan negara,” katanya.
Beliau turut menggesa rakyat menilai parti politik berdasarkan kejelasan hala tuju serta kemampuan membentuk kerajaan yang stabil selepas pilihan raya.
Menurutnya, PH kekal konsisten dengan pendirian untuk bertanding di semua kerusi serta mempunyai calon Perdana Menteri yang jelas.
Bersatu persoal keabsahan Mesyuarat Tertinggi PN, langgar kehendak RoS
Kecoh kenyataan awal dipadam, pengguna FB kantoikan tangkap layar akaun Samsuri
Tun Faisal gesa Samsuri lapor polis isu dua kenyataan media berbeza di FB
Bukan nama Wawasan, sebaliknya PN sahkan kemasukan PCM dan Pejuang
Kerjasama dengan Putrajaya kunci kemajuan Johor: Anwar
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar