Aminuddin berucap semasa Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Pakatan Harapan (PH) Johor.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun mendakwa tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap pentadbirannya menjadi punca utama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan dan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Aminuddin berkata kerajaan negeri ketika itu berada dalam keadaan stabil dengan pelbagai agenda pembangunan berjalan lancar serta memberi manfaat kepada rakyat.
Namun, tindakan rakan politik yang menarik sokongan secara tiba-tiba telah menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.
“Sahabat kita tidak sabar. Mereka menarik sokongan dan mengkhianati kepercayaan yang diberikan. Ibarat menebuk kapal yang sedang belayar dengan baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Pakatan Harapan (PH) Johor malam tadi.
Aminuddin yang juga Naib Presiden PH berkata, episod yang berlaku di Negeri Sembilan wajar dijadikan pengajaran supaya perkara sama tidak berulang di negeri lain.
“Kita menghormati kerjasama dan persefahaman yang dibina. Namun malangnya, ada sahabat yang mengkhianati kepercayaan itu. Mereka menarik sokongan sehingga kerajaan berada dalam keadaan tidak stabil,” katanya.
Beliau turut mendedahkan tindakan tersebut berlaku tanpa sebarang perbincangan atau amaran awal daripada pihak yang terlibat.
“Apa salah saya, saya pun tidak tahu. Mereka tidak berbincang dengan saya, tetapi akhirnya menarik sokongan. Selepas itu, mereka memberikan sokongan semula,” katanya.
Menurut beliau, keadaan politik yang tidak menentu menyebabkan kerajaan negeri berdepan kesukaran untuk mentadbir apabila sokongan yang diberikan berubah-ubah mengikut keadaan.
“Sekejap mereka sokong, sekejap mereka tarik. Sekejap mereka kata bersama, sekejap mereka tidak mahu ikut serta. Dalam keadaan seperti itu, kami merasakan mandat perlu dikembalikan kepada rakyat,” katanya.
Susulan kemelut berkenaan, Aminuddin berkata keputusan mengadakan pilihan raya merupakan langkah paling sesuai bagi membolehkan rakyat menentukan semula kerajaan yang mempunyai mandat jelas dan stabil.
Untuk rekod, krisis politik di Negeri Sembilan tercetus apabila beberapa wakil rakyat BN menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan PH, sekali gus menimbulkan ketidaktentuan mengenai kekuatan majoriti kerajaan.
Situasi itu akhirnya membawa kepada pembubaran DUN dan membuka laluan kepada PRN bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.
Kerajaan pusat dan negeri sepakat tangani cabaran ekonomi: Anwar
Bersatu persoal keabsahan Mesyuarat Tertinggi PN, langgar kehendak RoS
Kecoh kenyataan awal dipadam, pengguna FB kantoikan tangkap layar akaun Samsuri
Bukan nama Wawasan, sebaliknya PN sahkan kemasukan PCM dan Pejuang
Kerjasama dengan Putrajaya kunci kemajuan Johor: Anwar
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar