Sri Sanjeevan Ramakrishnan.
Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan dikritik kerana didakwa masih belum melantik pengerusi negeri dan gagal mengadakan mesyuarat rasmi penyelarasan walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan telah dibubarkan dan Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal diadakan tak lama lagi.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Sanjeevan Ramakrishnan berkata kelewatan itu menimbulkan persoalan mengenai tahap kesiapsiagaan gabungan berkenaan ketika jentera parti sepatutnya sudah berada dalam mod pilihan raya.
Menurut beliau, Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, bertanggungjawab memastikan struktur kepimpinan negeri dan persiapan menghadapi pilihan raya dimuktamadkan lebih awal, bukannya selepas DUN dibubarkan.
“Sehingga hari ini PN Negeri Sembilan masih belum mempunyai pengerusi negeri dan belum mengadakan sebarang mesyuarat rasmi bagi menyelaraskan gerak kerja pilihan raya.
“Ini bukan lagi kelewatan biasa tetapi kecuaian kepimpinan yang serius. Perkara asas seperti struktur kepimpinan dan penyelarasan jentera sepatutnya diselesaikan sebelum negeri memasuki fasa pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sanjeevan berkata, keadaan itu menyebabkan jentera di peringkat akar umbi terus menunggu arahan dan panduan yang jelas daripada kepimpinan gabungan berkenaan.
Beliau mendakwa sehingga kini tiada penyelarasan menyeluruh dilakukan bagi menghadapi pilihan raya, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai hala tuju serta kesediaan PN untuk berdepan PRN Negeri Sembilan.
“Yang kedengaran hanyalah kesunyian. Tiada arahan, tiada penyelarasan dan tiada kepimpinan yang kelihatan.
“Kelewatan membuat keputusan bukan tanda berhati-hati. Ia adalah tanda kelekaan yang akhirnya akan dibayar mahal di peti undi,” katanya.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kedudukan PN susulan pengumuman PAS berhubung penamatan kerjasama politik dengan Bersatu, yang menurutnya masih belum dijelaskan secara rasmi kepada rakyat dan penyokong gabungan itu.
“Rakyat dan penyokong berhak mengetahui kedudukan sebenar PN. Berdiam diri bukan satu bentuk diplomasi, sebaliknya petanda bahawa tiada jawapan yang mampu diberikan terhadap persoalan yang sedang dibangkitkan,” katanya.
Menurut Sanjeevan, gabungan yang masih berdepan kekosongan kepimpinan negeri, ketiadaan mesyuarat penyelarasan dan ketidakjelasan hala tuju politik berisiko menjejaskan keyakinan penyokong menjelang pilihan raya.
Beliau berkata, kekosongan kepimpinan yang berpanjangan hanya akan membuka ruang kepada keraguan dan perpecahan dalam kalangan penyokong serta jentera parti.
“Jika keadaan ini tidak diperbetulkan dengan segera, PN tidak perlu menunggu hari pengundian untuk mengalami kekalahan kerana proses itu sedang berlaku secara perlahan-lahan dari dalam.
“Rakyat tidak memerlukan kenyataan yang indah didengar. Mereka mahukan kepimpinan yang tegas, jelas dan berkesan. Kini tiba masanya kepimpinan tertinggi PN membuktikan kemampuan mereka melalui tindakan, bukan sekadar dakwaan,” katanya.
PRN Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh berkenaan susulan pembubaran DUN negeri.
PKR bidas tindakan MP Petaling Jaya letak jawatan dalam parti
Rumah Jamal disita: 14 barang akan dilelong 22 Jun
Fahmi kesal MP Petaling Jaya letak jawatan MPP PKR secara terburu-buru
PAS bakal umum kerjasama dengan Hamzah selepas ‘ceraikan’ Bersatu
UMNO terima lebih 21,000 ahli baharu sejak Februari: Asyraf Wajdi
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi