Loke jamin akan jemput MB Johor ke majlis pelancaran KTM Komuter Selatan

23 jam lalu · Politik

Anthony Loke memberi jaminan surat jemputan rasmi kepada Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi untuk menghadiri majlis pelancaran perkhidmatan KTM Komuter Selatan akan dihantar dalam masa terdekat.

Menurut Menteri Pengangkutan itu, majlis pelancaran perkhidmatan baharu yang menghubungkan Kulai dan Johor Bahru itu dijadual berlangsung pada Selasa depan dan pihak kementerian turut bercadang menjemput Onn Hafiz untuk menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.

“Surat jemputan akan sampai dalam kadar segera, jumpa nanti Selasa di Kulai ya. Pihak kami juga akan jemput Menteri Besar untuk beri sedikit ucapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Kenyataan itu dilihat sebagai respons kepada dakwaan Onn Hafiz yang memaklumkan masih belum menerima sebarang surat jemputan rasmi atau butiran lanjut daripada Kementerian Pengangkutan berhubung majlis pelancaran tersebut.

Sebelum ini, Onn Hafiz dilaporkan hanya mengetahui mengenai jemputan berkenaan menerusi laporan media yang memetik ucapan Loke ketika Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan pada Jumaat lalu.

Dalam hantaran sama, Loke turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor itu kerana sudi menerima pelawaannya untuk menaiki KTM Komuter Selatan sebelum ini.

Beliau turut mengimbau beberapa program besar berkaitan pengangkutan dan infrastruktur rel yang pernah dihadiri Onn Hafiz bersama Kementerian Pengangkutan.

Antaranya termasuk majlis berkaitan projek RTS Link yang disaksikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan bekas Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Januari 2024, selain majlis ketibaan tren pertama RTS Link di Singapura pada Jun 2025.

Loke berkata, Onn Hafiz juga hadir pada pelancaran khas ETS3 dan perasmian Stesen KTM Kluang oleh Sultan Ibrahim pada Ogos 2025, serta majlis penyempurnaan Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru dan pelancaran perkhidmatan ETS ke Johor Bahru pada Disember tahun yang sama.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat juga beberapa program kementerian yang tidak dihadiri oleh wakil Kerajaan Negeri Johor walaupun jemputan telah dihantar lebih awal, termasuk Majlis Peluncuran Program MyLesenB2 untuk pelajar sekolah di Johor Bahru pada Mei lalu.

Pada masa sama, Loke mengakui terdapat banyak program lain yang tetap disertai oleh wakil Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Johor, termasuk majlis menandatangani memorandum persefahaman bagi pembinaan Kluang Heritage Railway Linear Park pada 2023, lawatan kerja ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sultan Abu Bakar pada 2024 serta pembukaan semula landasan Pasir Gudang-Kempas Baru pada 2025.

Beliau turut menyatakan memahami kesibukan Menteri Besar Johor ketika musim pilihan raya, selain tidak menolak kemungkinan berlaku kekeliruan atau perkara yang terlepas pandang dalam urusan penyelarasan jemputan.

“Lagipun, ada perbezaan antara lawatan kerja dengan majlis rasmi. Kalau setakat lawatan kerja saya, saya tak nak ganggu masa Menteri Besar,” katanya.

Perkhidmatan KTM Komuter Selatan yang bakal dilancarkan minggu depan merupakan antara usaha meningkatkan sistem pengangkutan awam di Johor, khususnya bagi memudahkan pergerakan harian penduduk antara Kulai dan Johor Bahru serta melengkapkan rangkaian rel sedia ada di negeri itu.

Berita berkaitan
PAS didakwa menipu, Rosli bukan bekas pengerusi Amanah NS: Hasbie
15 jam lalu· Politik
PKR sahkan bertanding 16 kerusi di Negeri Sembilan, 20 di Johor
18 jam lalu· Politik
UMNO nafi dakwaan jadi punca kerajaan Negeri Sembilan tidak stabil: Asyraf Wajdi
18 jam lalu· Politik
Zaid ‘katak politik’, sertai PAS bukan kejutan: Khaled Nordin
18 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Nie Ching tegur bahasa digunakan ketua pengarah JKOM baharu
June 15, 2026 · Politik
Zaid dahulu pernah cabar hukum hudud, Amanah persoal pendirian selepas masuk PAS
2 jam lalu · Politik
Syam Ghaz akan ambil tindakan undang-undang terhadap Lim Sian See
15 jam lalu · Politik
Nama parti Wawasan sudah ada di Sarawak, RoS digesa campur tangan
18 jam lalu · Politik
PN diresapi ‘sistem Mullah’, PAS buat keputusan bersendirian: Tun Faisal
23 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
May 17, 2026
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
May 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok