Affendi Jeman.
Kemunculan Parti Wawasan Negara yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, mencetuskan isu pertindihan nama apabila sebuah parti berpangkalan di Sarawak mendakwa telah lebih awal memohon penggunaan nama hampir sama.
Presiden Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar), Affendi Jeman berkata, parti itu telah meluluskan pindaan untuk menukar nama kepada Parti Wawasan Rakyat dan mengemukakan permohonan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 8 April lalu.
Menurutnya, keputusan menukar nama tersebut telah mendapat persetujuan sebulat suara perwakilan semasa kongres tahunan Sedar yang berlangsung pada Februari lalu.
“Kami berharap RoS dapat menangani isu pertindihan nama ini,” katanya seperti dilaporkan media tempatan Sarawak.
Isu itu timbul sehari selepas Hamzah mengumumkan penyertaannya dalam sebuah parti baharu dikenali sebagai Parti Wawasan Negara yang dijadual mengadakan perhimpunan agung pertamanya minggu depan.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebelum ini mengesahkan Hamzah mengambil alih sebuah parti politik yang telah sedia berdaftar, namun enggan mendedahkan identitinya.
Perkembangan tersebut menambah lagi perhatian terhadap langkah politik Hamzah selepas beliau dipecat daripada Bersatu pada Februari lalu ketika kemuncak konflik kepimpinan parti yang melibatkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Pemecatan itu kemudiannya disusuli tindakan penggantungan dan penyingkiran beberapa lagi pemimpin, ahli Parlimen serta wakil rakyat negeri yang dilihat cenderung menyokong Hamzah.
Sehari selepas disingkirkan daripada parti, Hamzah melancarkan gerakan dikenali sebagai Reset yang bertujuan menghimpunkan penyokong dan tokoh politik yang sehaluan dengannya.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada RoS berhubung permohonan Parti Sedar Rakyat Sarawak untuk menggunakan nama Parti Wawasan Rakyat atau sama ada terdapat sebarang konflik dengan penggunaan nama Parti Wawasan Negara.
Perkembangan tersebut dijangka menjadi perhatian memandangkan kedua-dua parti berpotensi menggunakan identiti yang hampir serupa, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli dan masyarakat jika tidak diselesaikan lebih awal.
PAS didakwa menipu, Rosli bukan bekas pengerusi Amanah NS: Hasbie
Syam Ghaz akan ambil tindakan undang-undang terhadap Lim Sian See
PKR sahkan bertanding 16 kerusi di Negeri Sembilan, 20 di Johor
UMNO nafi dakwaan jadi punca kerajaan Negeri Sembilan tidak stabil: Asyraf Wajdi
Zaid ‘katak politik’, sertai PAS bukan kejutan: Khaled Nordin
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi