Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.
PKR akan bertanding di 16 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan dan sekurang-kurangnya 20 daripada 56 kerusi DUN di Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan di kedua-dua negeri itu.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkat, pengagihan kerusi tersebut telah dipersetujui secara bersama oleh semua parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) tanpa sebarang pertikaian.
Menurut beliau, rundingan pembahagian kerusi di Johor berjalan lancar dan mencapai kata sepakat antara parti-parti dalam gabungan itu.
“Pengagihan calon untuk 56 kerusi DUN Johor itu sudah dipersetujui antara parti komponen, tiada pertikaian. Semua pihak memahami kerusi yang diperuntukkan kepada masing-masing,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jualan Rahmah Madani sempena pembukaan baharu Pantai Selamat Seindah di Bandar Kuantan Putri hari ini.
Mengulas peluang PH di Johor, Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata gabungan itu optimis mampu meraih sokongan lebih besar berbanding PRN Johor 2022.
Beliau berkata, situasi politik ketika ini jauh berbeza berbanding pilihan raya negeri empat tahun lalu, termasuk dari segi tahap kematangan pengundi dan kadar keluar mengundi.
“PRN Johor 2022 sangat berbeza dengan situasi semasa. Ketika itu, PH tidak memperoleh banyak kerusi, tetapi keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-15 menunjukkan sokongan kepada PH meningkat dengan ketara.
“Kita melihat rakyat semakin matang dalam membuat pilihan politik. Saya juga yakin kadar keluar mengundi akan lebih tinggi kali ini dan keadaan itu boleh memberi kelebihan kepada PH,” katanya.
Menurut beliau, antara faktor yang menjejaskan keputusan PRN Johor 2022 ialah sekatan berkaitan pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang bekerja atau menetap di Singapura tidak dapat pulang untuk mengundi.
Sementara itu, mengulas kemungkinan kemunculan parti baharu yang dikaitkan dengan bekas pemimpin PKR seperti Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, Fuziah berkata perkembangan tersebut tidak wajar dilihat sebagai ancaman, sebaliknya sebahagian daripada proses demokrasi yang sihat.
Katanya, kewujudan lebih banyak parti politik merupakan perkara biasa di negara-negara demokratik dan Malaysia juga tidak terkecuali daripada perkembangan tersebut.
“Malaysia pernah melalui tempoh yang panjang dengan dominasi satu parti. Namun selepas 2008, landskap politik berubah apabila muncul lebih banyak parti dan gabungan yang mencabar parti pemerintah ketika itu.
“Jadi, tidak menghairankan jika berlaku penubuhan parti baharu. Yang penting, semua pihak perlu berkempen secara sihat dengan menawarkan idea dan dasar yang baik kepada rakyat, bukannya menjatuhkan atau memburukkan parti lain,” katanya.
PRN Negeri Sembilan dan Johor dijangka menjadi medan penting bagi mengukur kekuatan parti-parti politik menjelang pilihan raya umum akan datang, selain menguji tahap sokongan rakyat terhadap gabungan kerajaan dan pembangkang selepas perubahan landskap politik negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Zaid dahulu pernah cabar hukum hudud, Amanah persoal pendirian selepas masuk PAS
Syam Ghaz akan ambil tindakan undang-undang terhadap Lim Sian See
Nama parti Wawasan sudah ada di Sarawak, RoS digesa campur tangan
PN diresapi ‘sistem Mullah’, PAS buat keputusan bersendirian: Tun Faisal
Loke jamin akan jemput MB Johor ke majlis pelancaran KTM Komuter Selatan
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi