Syam Ghaz.
Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Syam Ghaz bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap Lim Sian See susulan dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap masyarakat Cina.
Syam, atau nama penuhnya Mohd Syam Ghazali, berkata dakwaan yang tular di media sosial itu adalah satu fitnah terhadap hantaran asal yang dibuatnya di Facebook.
Menurut beliau, kenyataan tersebut sebenarnya ditujukan secara khusus kepada Sian See dan seorang lagi individu dikenali sebagai Albert Tei, bukannya kepada mana-mana kaum atau komuniti.
“Hantaran asal saya dibuat sebagai respon balas kepada Lim Sian See dan Albert Tei semata-mata. Nama kedua-dua individu itu disebut secara jelas dan tidak melibatkan mana-mana pihak lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang tuduhan atau fitnah yang boleh menjejaskan reputasinya dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat.
Menurut Syam, pasukan peguamnya kini sedang meneliti pelbagai kenyataan, tulisan dan hantaran yang berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Satu laporan polis telah dibuat dan Surat Tuntutan (LOD) kepada Lim Sian See serta individu lain yang terlibat akan diserahkan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan rakan-rakan media sosial dan pencipta kandungan di seluruh negara telah diminta membantu mengumpul bukti termasuk tangkapan skrin serta pautan hantaran yang berkaitan.
Pada masa sama, Syam melahirkan rasa kesal terhadap tindakan pihak tertentu yang didakwa sengaja memutar belit kenyataannya sehingga menimbulkan persepsi kononnya menyerang seluruh masyarakat Cina.
“Saya menegaskan bahawa tiada sebarang niat untuk mengguris hati atau menyinggung perasaan mana-mana kaum di Malaysia. Keharmonian masyarakat majmuk sentiasa menjadi keutamaan saya,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui terdapat kekhilafan dan salah faham yang mungkin timbul daripada hantaran tersebut serta memohon maaf kepada mana-mana pihak yang berasa tersinggung walaupun tidak terlibat secara langsung.
“Saya mengambil tanggungjawab penuh dan akan lebih berhati-hati dalam setiap pengurusan hantaran media sosial pada masa hadapan,” katanya.
Isu berkenaan tercetus selepas beberapa hantaran di media sosial mengaitkan Syam dengan kenyataan yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.
Zaid dahulu pernah cabar hukum hudud, Amanah persoal pendirian selepas masuk PAS
PAS didakwa menipu, Rosli bukan bekas pengerusi Amanah NS: Hasbie
PKR sahkan bertanding 16 kerusi di Negeri Sembilan, 20 di Johor
UMNO nafi dakwaan jadi punca kerajaan Negeri Sembilan tidak stabil: Asyraf Wajdi
Zaid ‘katak politik’, sertai PAS bukan kejutan: Khaled Nordin
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi