Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjadi wakil negara menerima Hadiah World Summit on the Information Society (WSIS) 2025.
Pelan digital dan teknologi yang dirancang kerajaan mendapat pengiiktirafan global selepas Projek Inklusif Digital NADI dinobatkan sebagai juara Hadiah World Summit on the Information Society (WSIS) 2025.
Anugerah itu disampaikan kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada satu majlis di Geneva yang dianjurkan International Telecommunication Union (ITU) dengan kerjasama agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Saya amat berbesar hati menerima Hadiah WSIS ini bagi pihak Malaysia. Projek Inklusif Digital NADI di Pulau Banggi mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI bahawa tiada siapa pun terpinggir dalam era digital.
“Kejayaan ini adalah milik komuniti yang telah menerima kemahiran digital demi masa depan yang lebih baik, serta kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendukung visi negara yang inklusif dan terhubung,” kata Fahmi selepas majlis penerimaan hadiah.
Inisiatif NADI Pulau Banggi telah memenangi kategori ‘C4: Capacity Building’ atas kejayaannya menyediakan literasi digital, latihan kemahiran dan peluang ekonomi kepada salah satu komuniti pulau paling terpencil di Malaysia. Ia juga diiktiraf sebagai johan kategori yang sama, mengukuhkan lagi impak transformasinya.
Terletak kira-kira 70 kilometer dari Kudat dan hanya boleh diakses dengan feri atau bot laju, Pulau Banggi menempatkan kira-kira 20,000 penduduk dengan ekonomi utama berasaskan perikanan, kelapa sawit dan getah. Kedudukannya yang terpencil telah mengehadkan akses penduduk kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, dan pertumbuhan ekonomi.
Di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), Pelan Infrastruktur Digital Negara Malaysia, inisiatif NADI telah mewujudkan hab digital komuniti yang kini menyediakan Internet berkelajuan tinggi dan latihan ICT kepada nelayan, petani, pelajar serta pemilik perniagaan kecil seterusnya melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk berjaya dalam ekonomi digital kini.
Projek ini telah mengubah kehidupan penduduk, dengan warga belia memperoleh kemahiran ICT, golongan wanita memulakan perniagaan mikro dalam talian dan usahawan tempatan meluaskan pasaran mereka.
Berikutan kejayaan di Pulau Banggi, NADI kini diperluas ke kawasan kurang mendapat liputan lain termasuk Pulau Mandi Darah, dengan rancangan untuk diperluas ke seluruh negara menjelang 2035 melalui modul latihan berskala, hab komuniti, dan pembiayaan jangka panjang di Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Projek Stingray II Pulau Ketam juga diiktiraf sebagai johan kategori ‘C2: Information and Communication Infrastructure’ atas usahanya menyediakan kesalinghubungan berkelajuan tinggi melalui pemasangan kabel gentian optik dasar laut sepanjang 46.4 kilometer antara Kapar dan Pulau Ketam.
Projek ini telah membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian, keluarga mengakses perkhidmatan teleperubatan dan meningkatkan pertumbuhan perniagaan digital untuk perniagaan kecil.
Pengiktirafan global ini mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap kesaksamaan digital iaitu memastikan tiada rakyat yang tertinggal walau di lokasi terpencil sekalipun.
NADI bukan sekadar projek, ia adalah komitmen untuk memastikan semua rakyat Malaysia mendapat peluang digital yang saksama.
Pencapaian ini mengesahkan kedudukan NADI sebagai salah satu program inklusif digital yang paling unik dan berkesan di dunia.
Tiada pemimpin boleh hina mana-mana kaum, PM ingatkan Sanusi
Anwar yakin Kabinet setuju dedah laporan RCI Tabung Haji
MCMC siasat kandungan hina Islam di Facebook
Tarif AS tidak setinggi negara lain, rundingan akan tetap diteruskan: PMX
MB Negeri Sembilan: Tiada calon lain selain Tok Min
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS