Isu melibatkan Istana Negeri Sembilan.
Khalid Samad menggesa semua pihak supaya tidak menjadikan isu melibatkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sebagai bahan pertikaian politik, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada institusi diraja dan adat untuk diselesaikan mengikut saluran yang sewajarnya.
Menurut Bendahari Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) itu, sebarang polemik berkaitan institusi diraja perlu diuruskan secara tertib tanpa campur tangan mana-mana pihak berkepentingan politik.
“Isu ini sepatutnya pihak politik jangan campur tangan. Biarlah ia diuruskan dan diselesaikan oleh institusi raja dan adat itu sendiri. Itu sikap yang sepatutnya diambil,” katanya semasa sidang media di Seremban.
Khalid turut berpandangan alasan yang digunakan untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan sebelum ini dengan mengaitkan isu tersebut tidak wajar dijadikan sandaran politik.
Beliau berkata, pendekatan yang lebih sesuai ialah semua pihak bersama-sama memastikan proses berkenaan berjalan dengan lancar serta menghormati mekanisme yang telah ditetapkan.
“Sebenarnya apa yang sepatutnya dilakukan ialah sama-sama kita uruskan. Kita tangani bersama dan kita pastikan tiada campur tangan daripada mana-mana pihak,” katanya.
Pada masa sama, Khalid mendakwa Barisan Nasional (BN) telah menunjukkan sokongan kepada pihak tertentu dalam isu berkenaan, namun menegaskan PH memilih untuk tidak memihak.
“BN telah dengan jelas menunjukkan sokongan terhadap pihak yang tertentu. Bagi kami, kami tidak perlu berpihak. Kami serahkan kepada proses perundangan, proses perlembagaan serta institusi istana dan institusi adat itu sendiri,” katanya.
Isu melibatkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan menjadi perhatian susulan pelbagai kenyataan dan reaksi daripada beberapa pihak, termasuk pemimpin politik, sehingga mencetuskan perdebatan mengenai kewajaran campur tangan politik dalam urusan institusi diraja.
Negeri Sembilan mengamalkan sistem pemerintahan beraja yang unik berasaskan Adat Perpatih, di mana urusan berkaitan institusi Yang Dipertuan Besar tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Negeri serta peranan institusi adat yang mempunyai mekanisme tersendiri.
Khalid menegaskan penghormatan terhadap proses perlembagaan dan institusi diraja perlu menjadi keutamaan bagi memastikan kemuliaan institusi berkenaan terus terpelihara daripada pengaruh politik.
Kerajaan percepat sidang khas Parlimen bahas laporan RCI Tabung Haji: Fahmi
MN: Bersatu cabar UMNO tarik sokongan Kerajaan Selangor
PRN NS: Kalau berani keluarlah, Manivanan cabar Zaidy
Kabinet setuju RCI Tabung Haji didedah, kerajaan teruskan siasatan
Perceraian kedua UMNO-PAS hanya soal masa? Wawasan sedang bina naratif Hamzah calon PM
[VIDEO] Jangan tertipu ‘cium mulut’ BN dan PAS, jangan beri satu undi pun kepada UMNO
[VIDEO] Rekod Tok Min sukar ditandingi, ‘hantu DAP’ jadi modal UMNO-PAS