Manifesto PH.
Sasaran mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun yang digariskan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya disokong oleh beberapa projek pembangunan yang sedang dilaksanakan dan bakal memacu ekonomi negeri.
Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, unjuran tersebut dibuat berdasarkan projek-projek utama yang dikenal pasti mampu menjana ribuan peluang pekerjaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Menurutnya, pembangunan Midport di Pasir Panjang dianggarkan menyediakan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan, manakala projek Seremban Sentral dijangka membuka sekitar 2,500 peluang pekerjaan. Vision Business Park pula diunjurkan menawarkan kira-kira 15,000 pekerjaan baharu.
“Kalau kita lihat daripada tiga projek ini sahaja, kita sudah ada sekitar 22,500 pekerjaan,” katanya dalam wawancara bersama Suara TV.
Beliau menjelaskan baki sasaran pekerjaan akan disokong oleh pelbagai projek pembangunan lain serta kemasukan pelaburan baharu yang sedang dirancang kerajaan negeri.
Menurut Tengku Zafrul, kerajaan tidak hanya memberi tumpuan kepada jumlah peluang pekerjaan, sebaliknya mahu memastikan pekerjaan yang diwujudkan menawarkan pendapatan lebih baik dan mampu meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Kita bukan hanya mengejar jumlah pekerjaan. Kita kena pastikan pekerjaan ini juga pekerjaan yang berkualiti dari segi gaji. Kita tak nak anak-anak kita dapat kerja tetapi gajinya tidak tinggi,” katanya.
Beliau berkata, usaha menarik pelaburan akan terus memfokuskan kepada industri berteknologi tinggi dan sektor bernilai tambah tinggi bagi melahirkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran serta menawarkan gaji yang lebih kompetitif.
Katanya, pendekatan itu selari dengan hala tuju pembangunan ekonomi Negeri Sembilan yang kini semakin memberi penekanan kepada pelaburan berasaskan teknologi, inovasi dan industri moden.
Mengulas keyakinan pelabur terhadap negeri itu, Tengku Zafrul berkata pencapaian pelaburan mencecah RM19 bilion tahun lalu menjadi petunjuk kukuh Negeri Sembilan semakin menjadi destinasi pilihan pelabur tempatan dan asing.
Beliau turut berpandangan penciptaan pekerjaan berkualiti bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan isi rumah, malah membantu mengekalkan tenaga kerja mahir di Negeri Sembilan serta mengurangkan penghijrahan bakat ke negeri lain.
Selain itu, kemasukan industri berteknologi tinggi dijangka memberi kesan berganda kepada ekonomi tempatan menerusi rantaian bekalan, sekali gus merancakkan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana serta sektor perkhidmatan.
Manifesto PH bagi PRN Negeri Sembilan meletakkan sasaran mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan sebagai antara komitmen utama bagi memperkukuh ekonomi negeri.
Janji itu menjadi antara tawaran utama gabungan berkenaan dalam usaha mendapatkan mandat baharu untuk meneruskan pentadbiran Negeri Sembilan selepas dua penggal memerintah.
RCI TH didedah ikut proses, tunggu persetujuan Kabinet nyahklasifikasi: Fahmi
Azeez Rahim sedia disiasat semula, susulan pendedahan laporan RCI Tabung Haji
RCI Tabung Haji: Pengkhianatan terbesar datang dari tangan sendiri
Laporan RCI dedah bonus lumayan kepada kakitangan TH ketika aset susut
Anwar ambil alih pantau isu masyarakat india, mohon maaf guna istilah ‘kuil haram’
Altimet gesa tumpuan diberi kepada nasib pendeposit Tabung Haji
[VIDEO] Jangan tertipu ‘cium mulut’ BN dan PAS, jangan beri satu undi pun kepada UMNO