Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.
Barisan Nasional (BN) terbuka untuk mengadakan rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk kemungkinan pertukaran kerusi dengan parti dalam gabungan kerajaan.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata prinsip utama dalam rundingan itu ialah menghormati kerusi yang dimenangi mana-mana parti, namun pertukaran masih boleh dipertimbangkan jika dipersetujui semua pihak.
“Kerusi yang dimenangi oleh mana-mana parti, kedudukan itu hendaklah dihormati. Tetapi perundingan boleh dilakukan untuk ‘swap’ atau pertukaran kerusi asalkan jumlah kerusi itu sama,” katanya selepas menyempurnakan Festival Kebudayaan Rungus anjuran Persatuan Momogun Rungus Malaysia di Matunggong hari ini.
Ahmad Zahid mengulas kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebelum ini yang menggesa parti dalam gabungan kerajaan tidak membuat pengumuman awal untuk mempertahankan kerusi tertentu sebelum rundingan pembahagian kerusi PRN Melaka dimuktamadkan.
Menurutnya, ruang rundingan perlu terus dibuka bagi membolehkan parti-parti dalam gabungan mencari penyelesaian terbaik, termasuk kemungkinan pertukaran kerusi di negeri lain yang dikuasai parti rakan.
“Jangan buka seluas-luasnya, jangan tutup pintu itu serapat-rapatnya. Ertinya masih ada ruang untuk perundingan itu dijalankan,” katanya.
PRN Melaka menjadi antara tumpuan politik menjelang tamat tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Rundingan pembahagian kerusi dijangka menjadi perkara penting dalam menentukan strategi parti-parti kerajaan, terutama dalam usaha mengelakkan pertembungan sesama sendiri.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut mengulas kemungkinan Ahli Parlimen Kota Marudu, Wetrom Bahanda dan adiknya, Ahli Parlimen Kudat, Verdon Bahanda menyertai BN.
Beliau berkata perkara itu terlebih dahulu perlu dirundingkan Pengerusi BN Sabah sebelum dibawa ke peringkat pusat untuk mendapatkan pengesahan Dewan Tertinggi BN.
“Kedua-dua adik-beradik ini memang hati mereka ‘biru’ dari dulu. Untuk perinciannya saya akan memberikan kepercayaan kepada Pengerusi BN Sabah untuk merundingkannya,” katanya.
Wetrom merupakan Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), manakala Verdon kini merupakan Ahli Parlimen Bebas.
Ahmad Zahid turut memberi bayangan beliau berharap kedua-duanya dapat bersama BN pada PRU akan datang, khususnya jika kawasan Kota Marudu dan Kudat menyokong gabungan itu.
“‘Gelombang biru’ itu tetap datang, insya-Allah kalau dalam PRU akan datang Kota Marudu dan Kudat bersama-sama biru dengan saya, alangkah baiknya,” katanya.
PAS dan Tebuk Atap 2.0: UMNO masih tak berganjak pilih Kerajaan Perpaduan
Marzuki: Keahlian Bersatu masih sah dalam PN
PRN Melaka: Ab Rauf nafi jumpa Hadi hari ini
RCI Tabung Haji: Mahfuz bidas Hadi guna agama sebagai perisai melindungi rasuah
PRN Melaka: Zahid sahkan BN belum pilih PH atau PN untuk bekerjasama
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri