Kerugian FELDA menjadi isu hangat diperkatakan ketika ini.
Kerajaan akan memberi tumpuan kepada isu berkaitan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) selepas selesai meneliti dakwaan penyelewengan membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH), kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata perkara itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang mahu siasatan terhadap institusi berkaitan kepentingan rakyat diteruskan dan tidak terhenti pada TH sahaja.
Menurut Anwar, perkara itu disampaikan Seri Paduka Baginda ketika pertemuan mereka minggu lalu.
“Agong pada minggu lalu maklum kepada saya, ‘Perdana Menteri, jangan berakhir dengan Tabung Haji sahaja, teruskan.’
“Agong juga tanya siapa jaga Felda sekarang. Saya jawab, saya. Maka titah baginda, ‘selesai Tabung Haji, bongkar Felda pula’,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Anwar berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan atau mengambil harta rakyat.
Beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan segera sekiranya terdapat unsur penyelewengan.
“Arahan yang diberikan ialah, ambil tindakan sepantas mungkin,” katanya.
Mengulas pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH, Anwar berkata proses penubuhan suruhanjaya itu berlaku sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, malah laporan tersebut turut disiapkan sebelum pentadbirannya.
“Bukan perkara baru. Penubuhan RCI Tabung Haji itu sebelum saya jadi Perdana Menteri. Laporannya siap juga sebelum saya jadi Perdana Menteri.
“Jadi, salah saya apa? Salah saya ialah kenapa tak dedahkan awal. Saya nak terangkan, kalau tanya saya, saya akan pilih untuk dedahkan awal,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar berkata ketika itu pihak TH memaklumkan pendedahan awal laporan berkenaan berisiko memberi kesan kepada institusi tersebut.
Untuk rekod, Kabinet memutuskan penubuhan RCI berkaitan TH pada Julai 2021 ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin. Suruhanjaya itu kemudian mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Pelantikan anggota RCI dibuat pada 20 Januari 2022 ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob, dengan bekas Ketua Hakim Negara, Mohamed Raus Sharif, dilantik sebagai pengerusi.
Laporan RCI disiapkan pada 2022 dan ditandatangani Raus pada 19 Julai tahun sama. Namun, laporan itu hanya didedahkan kepada umum pada 29 Julai 2026 selepas Kabinet mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkannya.
Perkembangan itu kini membuka perhatian baharu terhadap usaha kerajaan meneliti pengurusan institusi berkaitan kepentingan rakyat, dengan Felda disebut sebagai fokus seterusnya selepas isu TH.
PRN Melaka: Ab Rauf nafi jumpa Hadi hari ini
PRN Melaka: Zahid sahkan BN belum pilih PH atau PN untuk bekerjasama
UMNO akan hantar wakil ke Muktamar PAS: Zahid
Bersatu bukan lagi ahli PN kerana bertanding guna logo sendiri: Takiyuddin
Amirudin jumpa Anwar esok, bincang kerjasama PH-BN di Melaka
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri