Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyindir PAS yang dilihat lebih lantang mengulas isu dasar luar negara termasuk hubungan China dan Taiwan, tetapi sepi apabila menyentuh isu Tabung Haji yang membabitkan kepentingan umat Islam.
Fahmi berkata pendirian Malaysia berhubung China dan Taiwan tidak berubah sejak era pemerintahan Perdana Menteri kedua, Abdul Razak Hussein, dan kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim baru-baru ini kekal selari dengan dasar luar negara.
“Tak benar tuduhan itu. Pendirian Malaysia mengenai isu tersebut sudah dibuat sejak zaman almarhum Tun Abdul Razak dan pendirian kita tidak pernah berubah.
“Perdana Menteri hanya menyatakan apa yang konsisten dengan pendirian Wisma Putra. Jadi tidak ada perubahan ataupun perbezaan dalam hal itu,” katanya ketika ditemui pada Program Kenduri Rakyat MADANI di Kuala Lumpur, hari ini.
Fahmi mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yang mendakwa pendirian Anwar dalam temu bual dengan media antarabangsa baru-baru ini meletakkan Malaysia dalam kedudukan diplomatik yang sukar serta menyempitkan ruang diplomasi negara.
Menurut Fahmi, beliau lebih kesal apabila PAS begitu aktif memberikan pandangan terhadap isu antarabangsa, sedangkan parti itu dilihat kurang bersuara mengenai isu domestik yang mempunyai kaitan langsung dengan kepentingan umat Islam.
Beliau merujuk Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang mendedahkan kelemahan pengurusan akaun dan pelaburan institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2017, termasuk kerugian membabitkan jutaan ringgit.
“Yang saya kesal, kenapa pihak tertentu termasuk rakan-rakan dari PAS, dalam bab yang jauh dari kita banyak komentar, tetapi yang sangat dekat dengan kita termasuk Tabung Haji, kita tidak mendengar sepatah pun pendirian mereka mengenai kerosakan yang berlaku seperti terkandung dalam laporan RCI Tabung Haji,” katanya.
Fahmi turut mempersoalkan tindakan wakil pembangkang yang meninggalkan Dewan Rakyat ketika rakyat mengharapkan isu berkenaan dibahaskan.
“Saya harap mereka dapat lebihkan masa menelaah dan membahaskan perkara itu kerana mereka telah lari dari Dewan Rakyat waktu rakyat mengharapkan pihak pembangkang membahas,” katanya.
Laporan RCI Tabung Haji sebelum ini memberi perhatian terhadap beberapa keputusan pengurusan dan pelaburan institusi itu dalam tempoh pentadbiran terdahulu.
Fahmi berkata kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha memulihkan Tabung Haji supaya kembali berada pada kedudukan kukuh dan mampu melaksanakan peranan sebagai institusi penting umat Islam.
PRN Melaka: Zahid sahkan BN belum pilih PH atau PN untuk bekerjasama
Bersatu bukan lagi ahli PN kerana bertanding guna logo sendiri: Takiyuddin
Kerugian hampir RM10 bilion: Zahid mahu FELDA diaudit secara forensik
Amirudin jumpa Anwar esok, bincang kerjasama PH-BN di Melaka
FELDA rugi RM2.3 bilion, pelaburan di Indonesia semasa era BN 2016 dipersoal: Radzi Jidin
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri