Tabung Haji.
Kerajaan akan meminda Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) bagi memastikan amanah umat Islam terus dipelihara dan tatakelola institusi itu diperkukuh.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pindaan berkenaan menjadi antara langkah Kerajaan MADANI untuk memperbaiki kelemahan institusi serta memastikan pengurusan yang lebih berintegriti.
“Tatakelola mesti terus diperkukuh, institusi dibersihkan dan setiap kelemahan diperbetulkan dengan tegas. Akta Tabung Haji akan dipinda demi memelihara amanah umat Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut komited memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan kehidupan rakyat tanpa mengira latar belakang politik atau negeri.
Menurutnya, rakyat di negeri yang ditadbir pembangkang juga perlu mendapat perhatian kerajaan kerana tanggungjawab pentadbiran merangkumi seluruh rakyat dan negara.
Kenyataan itu dibuat selepas Kongres Nasional PKR 2026 melabuhkan tirai hari ini.
Anwar yang juga Presiden PKR turut menegaskan parti itu perlu terus berpegang kepada prinsip, idealisme dan keberanian dalam melakukan perkara yang dianggap benar.
Beliau berkata, PKR tidak boleh menggadaikan prinsip atau mengkhianati cita-cita reformasi hanya untuk mempertahankan kuasa.
“Kuasa bukan alat untuk memperkaya diri, keluarga atau kroni, tetapi amanah untuk membela rakyat, menegakkan keadilan dan mengangkat martabat insan,” katanya.
Anwar turut mengingatkan PKR supaya kekal sebagai wadah perjuangan untuk semua golongan merentas kaum, agama dan wilayah, dengan prinsip keadilan diterjemahkan melalui dasar serta tindakan.
“Kekuatan Keadilan bergantung pada saf yang bersih, kepimpinan yang teguh dan gerak kerja yang tersusun. Rapatkan barisan, perkemas gerak kerja dan terus mara demi rakyat dan negara,” katanya.
Pindaan Akta Tabung Haji itu dilihat sebagai sebahagian usaha kerajaan memperkukuh kerangka perundangan dan tatakelola institusi pengurusan simpanan serta urusan haji umat Islam.
Dalam hantaran sama, Anwar turut menyentuh isu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dengan menegaskan undang-undang itu perlu dimansuhkan sepenuhnya tanpa digantikan dengan peraturan baharu yang terus menyekat suara mahasiswa.
PRN Melaka: Ab Rauf nafi jumpa Hadi hari ini
PRN Melaka: Zahid sahkan BN belum pilih PH atau PN untuk bekerjasama
UMNO akan hantar wakil ke Muktamar PAS: Zahid
Bersatu bukan lagi ahli PN kerana bertanding guna logo sendiri: Takiyuddin
Kerugian hampir RM10 bilion: Zahid mahu FELDA diaudit secara forensik
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri