Kerjasama UMNO-PAS.
PAS dan Barisan Nasional (BN) masih di meja rundingan bagi mencari titik temu menjelang PRU16, dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengesahkan perbincangan kedua-dua pihak belum dimuktamadkan.
Abdul Hadi berkata, PAS sentiasa membuka ruang perbincangan dengan mana-mana pihak bagi mencari jalan keluar terhadap kemelut politik, termasuk parti yang mempunyai kekuatan sokongan Melayu.
“Sentiasa untuk dirundingkan, termasuk dalam kalangan parti-parti yang mempunyai kekuatan sokongan Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Jumaat.
Abdul Hadi berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan hubungan PAS dengan Pakatan Harapan (PH) serta kemungkinan kerjasama dengan BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ditanya mengenai peluang PAS bekerjasama dengan BN susulan pendirian parti itu yang turut terbuka kepada kerjasama politik, Abdul Hadi menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak terbabit.
“Itu terpulang pada dialah. Kita, kita-kitalah. Kita… kita,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi mengesahkan rundingan berkaitan kerjasama politik masih berada dalam proses dan belum dimuktamadkan.
Beliau turut mendedahkan rundingan antara Perikatan Nasional (PN) dan BN sudah dimulakan serta menunjukkan perkembangan positif.
Menurutnya, pengalaman kerjasama politik sebelum ini, termasuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, turut diambil kira dalam rundingan yang sedang berlangsung.
Perkembangan itu membuka ruang kepada kemungkinan penyusunan semula kerjasama politik antara parti Melayu menjelang PRU16, namun sebarang keputusan rasmi masih belum dicapai.
Hubungan PAS dan BN menjadi perhatian selepas kedua-dua parti pernah bekerjasama dalam Muafakat Nasional sebelum hubungan itu berakhir, manakala PAS kini menjadi parti utama dalam PN.
Menjelang PRU16, perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama antara blok politik Melayu kembali menjadi tumpuan ketika parti-parti utama mula menyusun strategi menghadapi pilihan raya akan datang.
Abdul Hadi bagaimanapun tidak memberikan tempoh masa khusus untuk rundingan berkenaan dimuktamadkan.
G25 mahu rakyat tahu nasihat AG mengenai tahanan rumah Najib
Pengampunan Najib: Anwar dedah apa yang dibincangkan dengan Agong
Isu letak jawatan: Anwar mahu jumpa Loke selepas pulang dari Shanghai
Najib kekal di Kajang selagi denda RM50 juta belum dibayar
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum