Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim.
Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim menegaskan sokongan penuh kerajaan negeri kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir susulan dakwaan berkaitan usaha menurunkan baginda daripada takhta.
Ismail berkata, beliau menghormati pandangan Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato Shahbandar Sungai Ujong berhubung isu berkenaan.
“Apa jua pandangan YTM Undang Yang Empat adalah hak mereka.
“Fokus saya kini adalah menjalankan amanah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan demi kepentingan rakyat dan negeri.
“Saya bersama kerajaan negeri menzahirkan sokongan penuh serta taat setia kepada DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan.
Pendirian itu hadir ketika kemelut membabitkan institusi adat dan kedudukan takhta Negeri Sembilan kembali menjadi perhatian selepas beberapa tokoh adat mendakwa wujud proklamasi berkaitan penurunan takhta Tuanku Muhriz.
Dalam kenyataan bersama bertarikh 5 September lalu, enam tokoh adat mendakwa Ismail telah menandatangani proklamasi pada 3 Ogos bagi melaksanakan peruntukan Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Kenyataan itu ditandatangani Undang Luak Sungai Ujong, Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman serta Dato Shahbandar Sungai Ujong, Badarudin Abd Khalid.
Menurut mereka, Undang Yang Empat terlebih dahulu menandatangani proklamasi serta menurunkan cop mohor masing-masing pada 19 April lalu bagi mengisytiharkan penurunan takhta Tuanku Muhriz.
Mereka turut menggesa proklamasi itu dikuatkuasakan serta-merta.
Namun, Ismail tidak memberikan penjelasan terperinci mengenai dakwaan beliau menandatangani proklamasi berkenaan.
Sebaliknya, Menteri Besar itu memilih menegaskan komitmennya untuk terus menjalankan tugas pentadbiran negeri serta mempertahankan sokongan dan taat setia kepada Tuanku Muhriz.
Isu pengampunan: Zahid serah nasib Najib kepada budi bicara Agong
Pemuda UMNO desak GST dikembalikan
Danish cabar Asyraf tunjuk ayat PH pertikai kuasa Agong
Penyatuan ummah bukan untuk pinggir bukan Melayu – Akmal
Mohamad Hasan: UMNO tak mahu dipermainkan lagi, tetapkan empat syarat kerjasama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum