Kerjasama BN-PN, mampukah bertahan di Melaka masih jadi tanda tanya.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mahu keputusan mengenai kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diumumkan segera supaya jentera parti, khususnya golongan muda, dapat memulakan persiapan menghadapi pilihan raya.
Ahmad Zahid turut memberi mandat kepada Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh untuk berunding dan menentukan rakan kerjasama yang mampu membantu Barisan Nasional (BN) mempertahankan penguasaan politik di negeri itu.
Beliau mengingatkan rakan kerjasama yang dipilih perlu mempunyai kesetiaan, keikhlasan dan pendirian yang konsisten bagi memastikan usaha BN memburu kemenangan tidak terjejas.
“Datuk Rauf, gunakanlah sokongan daripada anak-anak muda ini untuk terus menstabilkan politik Melaka.
“Berikanlah peluang kepada mereka. Cepat-cepatlah umum! Jangan tunggu lewat! Lebih cepat, lebih baik! Anak-anak muda telah bersedia! Semua sedia gelombang biru, geng biru,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Konvoi Bermotor Karnival Anak Muda di MITC, Melaka pada Ahad.
Ahmad Zahid berkata, Ab Rauf perlu berhati-hati dalam memilih rakan kerjasama supaya tidak berlaku perbezaan pendirian antara apa yang disuarakan di hadapan dengan tindakan di belakang.
“Pilih partner yang taat setia, yang boleh memberikan kemenangan kepada kita! Pilih partner yang ikhlas dan jujur dengan kita!
“Pilih partner yang bercakap di belakang sama di depan sama! Bukan yang cakap depan lain, belakang buat lain,” katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika persiapan menghadapi PRN Melaka semakin mendapat perhatian, termasuk soal bentuk kerjasama antara parti politik bagi menghadapi pertandingan di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
BN sebelum ini pernah bertanding secara solo pada PRN Melaka 2021 dan berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi, sekali gus menamatkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.
Mengambil kira keputusan berkenaan, Ahmad Zahid menyasarkan BN sekurang-kurangnya mempertahankan 21 kerusi pada PRN akan datang.
“Kalau dulu kita telah membuktikan dengan solo, kita membuat keputusan dan rakyat Melaka bersama-sama dengan gelombang biru ketika itu.
“Datuk Rauf, berunding elok-elok, jaga hati orang Melaka,” katanya.
Beliau turut menyifatkan sokongan pengundi muda sebagai faktor penting dalam menentukan hala tuju politik Melaka pada pilihan raya akan datang.
“Jangan kurang daripada 21 kerusi! Yang tujuh kerusi lagi, tidak apa kita serah pada mereka.
“Ini bukan kempen politik, ini kempen anak muda. Sebab anak muda yang akan menentukan bangun jatuhnya Negeri Melaka,” katanya.
Pemuda UMNO desak GST dikembalikan
Danish cabar Asyraf tunjuk ayat PH pertikai kuasa Agong
Penyatuan ummah bukan untuk pinggir bukan Melayu – Akmal
Siapa pegang tangan MB Negeri Sembilan soal Mahfuz
Mohamad Hasan: UMNO tak mahu dipermainkan lagi, tetapkan empat syarat kerjasama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum