Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki.
UMNO tidak akan memaksa Pakatan Harapan (PH) untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun parti itu tetap membuka ruang kerjasama dengan mana-mana pihak.
Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan untuk bekerjasama atau sebaliknya adalah hak setiap parti dan UMNO menghormati pendirian berkenaan.
“Kalau dia tak nak kerjasama, itu hak dia. Kita tak boleh paksa. Itu parti dia, bukan parti kita.
“Kita sentiasa terbuka,” katanya kepada media selepas majlis prapelancaran Mara Automotive Ecosystem (Matec) 2026 di Menara MARA.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pendirian Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, yang sebelum ini menyatakan PH tidak akan bekerjasama dengan BN pada PRN Melaka akan datang.
Khalid turut menyatakan PH terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali BN dan Perikatan Nasional (PN).
Dalam perkembangan berkaitan, spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama antara PH dan Bersatu turut menjadi perhatian susulan pertemuan tertutup pemimpin kedua-dua pihak di sebuah hotel di Melaka.
Pertemuan itu dihadiri beberapa pemimpin termasuk Ketua Penerangan Bersatu, Faisal Ismail Aziz; Pengarah Pilihan Raya Bersatu Melaka, Mohamad Ali Mohamad; Ketua Amanah Melaka, Ashraf Mukhlis Minghat dan Pemangku Ketua PKR Melaka, Adam Adli.
Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, sebelum ini menjelaskan tiada perbincangan rasmi mengenai kerjasama berkenaan.
Menurutnya, sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik perlu diputuskan oleh Majlis Presiden PH.
Sementara itu, Asyraf berkata UMNO masih menjalankan rundingan dan setakat ini belum membentuk sebarang jajaran politik baharu bagi menghadapi PRN Melaka.
Katanya, parti itu masih menunggu perkembangan termasuk pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh pilihan raya.
“Setakat ini sedang berunding. Kita tunggu. Suruhanjaya Pilihan Raya belum umum tarikh.
“Masih jajaran sama,” katanya.
Gagal isytihar wang tunai ditemui SPRM dan emas: Ismail Sabri mahu cabar pertuduhan
Loke hantar surat letak jawatan, berkuat kuasa bila Najib pulang ke rumah
AMK gesa PAS isytihar Zahid sebagai ‘poster boy’ calon PM
Pertemuan PH-Bersatu sekadar makan malam: Adam Adli
Pemimpin PH-Bersatu bertemu, rundingan PRN Melaka?
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum