Fahmi Fadzil.
Pakatan Harapan (PH) belum membuat sebarang keputusan berhubung bentuk kerjasama dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik perlu dibuat melalui Majlis Presiden PH dan tidak boleh didahului mana-mana pimpinan parti.
Beliau berkata, keputusan hanya boleh dibuat di peringkat lain sekiranya kuasa berkenaan sudah diturunkan kepada PH Melaka.
“Kita belum buat apa-apa keputusan untuk Pakatan Harapan. Tidak ada pimpinan yang akan mendahului keputusan yang akan dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan, kecuali kuasa itu telah diturunkan kepada Pakatan Harapan Melaka,” katanya semasa sidang media.
Menurut Fahmi, sebarang pandangan yang dikemukakan pimpinan mengenai bentuk kerjasama bagi PRN Melaka perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Presiden PH, yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pada masa sama, PH Melaka kini sedang mengadakan siri perbincangan dengan pelbagai pihak bagi menilai bentuk persefahaman atau kerjasama yang sesuai untuk menghadapi PRN berkenaan.
“Pada waktu ini pihak Pakatan Harapan di Melaka memaklumkan mereka mengadakan siri perbincangan dengan pelbagai pihak untuk melihat kesesuaian sama ada bentuk persefahaman ataupun bentuk kerjasama yang sesuai, apa yang tidak sesuai,” katanya.
Fahmi berkata, proses perbincangan itu masih berjalan dan PH mempunyai masa untuk meneliti semua kemungkinan sebelum keputusan muktamad dibuat.
Katanya, hasil perbincangan di peringkat PH Melaka akan dibawa kepada Majlis Presiden PH untuk pertimbangan sebelum sebarang keputusan diumumkan secara rasmi.
“Tapi kita masih ada masa. Akhirnya untuk Pakatan Harapan, keputusan akan dibuat dan dimaklumkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan. Jadi kita tunggu sedikit masa,” katanya.
PRN Melaka dijangka menjadi medan penting untuk PH menentukan strategi politiknya susulan perkembangan kerjasama antara parti-parti politik menjelang pilihan raya negeri itu.
Perbincangan mengenai pembahagian kerusi dan bentuk kerjasama dijangka menjadi antara perkara utama yang perlu dimuktamadkan sebelum PH mengumumkan pendirian rasmi menghadapi PRN Melaka.
PH-Bersatu masih belum duduk berunding secara rasmi: Fahmi
Gagal isytihar wang tunai ditemui SPRM dan emas: Ismail Sabri mahu cabar pertuduhan
Loke hantar surat letak jawatan, berkuat kuasa bila Najib pulang ke rumah
AMK gesa PAS isytihar Zahid sebagai ‘poster boy’ calon PM
Pertemuan PH-Bersatu sekadar makan malam: Adam Adli
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum