Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijangka dibubarkan pada November, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak selepas Belanjawan Sarawak 2027 diluluskan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pembubaran DUN kemungkinan dibuat pada November atau kira-kira dua minggu selepas pembentangan serta kelulusan Belanjawan Sarawak 2027.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan membiarkan DUN terbubar secara automatik apabila tempoh mandat berakhir pada Februari 2027.
“Jarang sekali Menteri Besar, Ketua Menteri dan dalam konteks Sarawak, Premier akan membiarkan DUN terbubar sendiri. Biasanya mereka akan mohon pembubaran.
“Jadi apabila kita lihat sekarang ini bulan Oktober dan seterusnya November dan Disember tinggal berapa bulan lagi, kita perlu adakan pilihan raya tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sarawak Women of Tomorrow (SWOT) 2026, hari ini.
Abdul Karim berkata tarikh sebenar pembubaran DUN masih belum diputuskan, namun November dilihat sebagai tempoh yang berkemungkinan.
“Tarikhnya mungkin pada bila-bila masa pada November untuk pembubaran, sama ada selepas bajet Sarawak atau mungkin dua minggu selepas itu,” katanya.
Persidangan DUN Sarawak dijadual berlangsung dari 12 hingga 21 Oktober ini, dengan Belanjawan Sarawak 2027 dijangka menjadi antara perkara utama yang akan dibincangkan.
Perkembangan itu sekali gus memberi isyarat lebih jelas mengenai kemungkinan PRN Sarawak diadakan dalam tempoh terdekat, selepas tempoh mandat kerajaan negeri semasa menghampiri penghujungnya.
Sarawak kali terakhir mengadakan PRN pada Disember 2021, dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh kemenangan besar apabila memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Dengan pembubaran DUN dijangka berlaku selepas Belanjawan Sarawak 2027, perhatian kini terarah kepada tarikh rasmi pembubaran serta keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan hari penamaan calon, pengundian dan tempoh berkempen.
Belanjawan 2027: Bantuan rakyat perlu disusuli peningkatan pendapatan
PKR lapor polis isu sindiran ayat al-Quran oleh Eric See-To
Akmal kecam sindiran Eric See-To terhadap istilah ‘lighad’, jangan perlekeh al-Quran
Mat Sabu: Jadikan krisis Negeri Sembilan pengajaran buat pengundi PRN Melaka
Parlimen: 19 kes DNAA libatkan 12 ahli politik sejak 2010
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum