Pakatan Harapan.
Pakatan Harapan (PH) dijangka mengumumkan senarai calonnya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam tempoh kira-kira seminggu lagi.
Pengarah Pilihan Raya PH, Amirudin Shari berkata, tarikh rasmi pengumuman masih belum ditetapkan kerana pihaknya menunggu pengesahan jadual serta kesediaan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Anwar Ibrahim.
Menurutnya, PH akan memberikan notis awal beberapa hari sebelum majlis pengumuman calon berlangsung.
“Lebih kurang seminggu lebih daripada sekarang kita akan maklumkan. Saya sedang menunggu tarikh rasmi, tarikh kesediaan dan juga kehadiran Perdana Menteri.
“Selepas itu nanti saya akan maklumkan paling kurang tiga, empat hari notis awal sebelum kita umumkan tarikh pengumuman calon tersebut,” katanya selepas Pelancaran Bilik Gerakan Utama PH di Bukit Baru, Melaka, hari ini.
Amirudin berkata, proses pemilihan calon masih berlangsung di peringkat parti-parti komponen PH sebelum senarai akhir dimuktamadkan.
Katanya, mengikut amalan PH, setiap parti komponen mempunyai peranan dalam menentukan calon bagi kerusi yang ditandingi masing-masing.
“Walaupun saya Pengarah Pilihan Raya, saya bukan hendak menentukan semua. Ia akan ditandatangani oleh PM atau Pengerusi Pakatan Harapan Malaysia, tetapi pemilihan akan ditentukan oleh komponen masing-masing,” katanya.
Menurutnya, hanya satu atau dua kerusi mungkin memerlukan pertimbangan lanjut sekiranya timbul isu tertentu sebelum keputusan akhir dibuat.
Bagaimanapun, beliau yakin proses pemilihan calon PH dapat diselesaikan tanpa masalah besar.
“Tapi setakat ini tak ada. Insya-Allah calon kita semua berkaliber yang akan membawa, memikul harapan dan juga memikul tanggungjawab bagi PH,” katanya.
PRN Melaka menjadi antara tumpuan politik utama menjelang penghujung tahun ini, dengan PH, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dijangka memperhebat persiapan masing-masing.
Sebelum ini, perbincangan mengenai pembahagian kerusi serta kerjasama politik menjadi antara perkara penting sebelum parti-parti memuktamadkan strategi menghadapi PRN berkenaan.
Pengumuman calon PH nanti dijangka memberi gambaran lebih jelas mengenai kekuatan serta susunan jentera gabungan itu di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
PKR lapor polis isu sindiran ayat al-Quran oleh Eric See-To
Akmal kecam sindiran Eric See-To terhadap istilah ‘lighad’, jangan perlekeh al-Quran
PN sasar lebih empat kerusi di Melaka hasil rundingan dengan UMNO: Tuan Ibrahim
Adly kritik Akmal, dakwa main sentimen kaum dan agama
Mat Sabu: Jadikan krisis Negeri Sembilan pengajaran buat pengundi PRN Melaka
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum