Penipuan dalam talian: Selangor catat kerugian tertinggi

October 25, 2026 · Isu semasa

Selangor mencatatkan kerugian tertinggi akibat penipuan dalam talian di Malaysia tahun lalu dengan jumlah mencecah RM986.79 juta, meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM446.16 juta pada 2024.

Jumlah itu menyumbang hampir satu pertiga daripada keseluruhan kerugian akibat penipuan dalam talian di negara ini yang merekodkan RM2.97 bilion sepanjang 2025.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pihaknya bersama institusi kewangan dan agensi penguatkuasaan terus memperkukuh usaha membendung jenayah berkenaan, termasuk mempercepatkan pengesanan dana yang dicuri serta memperketatkan kawalan keselamatan perbankan dalam talian.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sistem keselamatan yang kukuh perlu disertai kewaspadaan pengguna bagi memastikan mereka tidak mudah menjadi mangsa penipuan.

“Bagaimanapun, sistem yang kukuh sahaja tidak mencukupi. Benteng pertahanan utama sebenarnya bermula daripada kewaspadaan diri kita sendiri.

“Sekiranya anda didesak untuk bertindak dengan segera oleh scammer, buat pengesahan terlebih dahulu melalui saluran rasmi sebelum berkongsi maklumat atau memindahkan wang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Literasi Kewangan Selangor 2026 di Central i-City Mall, semalam.

Abdul Rasheed turut mengingatkan institusi kewangan supaya mempertingkatkan kawalan keselamatan, memberikan amaran lebih jelas kepada pelanggan serta bertindak pantas terhadap sebarang aktiviti mencurigakan.

Menurutnya, kepantasan transaksi digital yang membolehkan pembayaran dan pemindahan wang dilakukan dalam beberapa saat turut mengehadkan ruang pengguna untuk berfikir sebelum membuat keputusan.

Antara modus operandi yang perlu diberi perhatian ialah panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank atau pihak berkuasa sebelum mendesak mangsa memindahkan wang kononnya bagi mengelakkan akaun bank mereka disekat.

“Situasi seperti ini perlu kita waspada,” katanya.

Kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara apabila jumlah keseluruhan meningkat daripada RM1.57 bilion pada 2024 kepada RM2.97 bilion pada 2025.

Peningkatan itu mencerminkan ancaman jenayah siber yang semakin serius, sekali gus menuntut kerjasama lebih erat antara pihak berkuasa, institusi kewangan dan orang ramai bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa.

Pengguna dinasihatkan supaya tidak mendedahkan maklumat perbankan, kata laluan atau kod pengesahan kepada pihak tidak dikenali serta membuat semakan melalui saluran rasmi sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

Berita berkaitan
Kewangan Islam dijangka kuasai lebih 50 peratus aset negara: Gabenor
October 25, 2026· Isu semasa
Jangan serah keselamatan digital anak kepada platform semata-mata
October 24, 2026· Isu semasa
Dana Inovasi Media: Fahmi mahu AI bantu wartawan, bukan ganti mereka
October 24, 2026· Isu semasa
Kes scam: Tawaran komisen RM1,200, wanita rugi RM72,467
October 24, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
RM15 juta dana kreatif dibuka 16 November: Fahmi
14 jam lalu · Isu semasa
Anugerah Seri Angkasa iktiraf sumbangan warga penyiaran: Fahmi
15 jam lalu · Isu semasa
JPN sudah keluarkan 275,785 MyKad baharu, Johor rekod tertinggi
20 jam lalu · Isu semasa
Kapal bawa ketamin RM785 juta milik syarikat Malaysia: Polis
20 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan sanggup tanggung subsidi minyak demi rakyat: PMX
21 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok