Ahmad Maslan.
Pantun berbaur sindiran Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan, mengenai Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat, namun ungkapan itu turut mengundang persoalan apabila UMNO dan BN sendiri masih menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
Sindiran Ahmad yang mengaitkan sokongan kepada BN dan PN dengan risiko ‘kena kencing’ dilihat mempunyai ironi tersendiri kerana beliau bukan sekadar pemimpin UMNO, malah turut memegang jawatan dalam kerajaan yang turut dianggotai partinya.
Keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada Ahmad menyedari sindirannya turut meletakkan UMNO dan BN dalam kedudukan yang sama, sedangkan kedua-duanya masih bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Pantun berkenaan dilontarkan Ahmad ketika membahaskan peruntukan Belanjawan 2027 Kementerian Kerja Raya (KKR) di peringkat jawatankuasa sebagai menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu).
“Jika tuan pergi memancing jangan lupa membawa umpan. Jika tidak mahu kena kencing, sokong Barisan Nasional dan Perikatan Nasional,” katanya.
Kenyataan itu segera mendapat reaksi RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mempersoalkan sama ada Ahmad memberikan jawapan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya atau pemimpin UMNO.
“Adakah timbalan menteri memberi jawapan sebagai timbalan menteri di Kerajaan Perpaduan atau sebagai pemimpin UMNO di sini?
“Jangan hina kami di Dewan Rakyat. Kamu di sini sebagai menteri dalam Kabinet. Jawab sebagai timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Rayer turut meminta Ahmad menarik balik penggunaan perkataan ‘kencing’ kerana disifatkan tidak sopan dan menyindir Ahli Parlimen PH.
Bagaimanapun, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mencelah dengan mendakwa tindakan Rayer mempersoalkan perkara itu juga seolah-olah menghina Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor kemudian meminta Ahmad menarik balik perkataan berkenaan selepas menyifatkannya tidak berparlimen.
“Pada pertimbangan saya, ia tidak berparlimen. Tarik balik bahagian itu,” katanya.
Ahmad akur dengan arahan berkenaan dan berkata: “Yang Speaker kata tarik balik. Perkataan kencing, saya tarik balik.”
Insiden itu sekali lagi memperlihatkan sensitiviti hubungan politik dalam Kerajaan Perpaduan apabila pemimpin parti yang berada dalam kerajaan menggunakan pentas Parlimen untuk melontarkan sindiran terhadap parti lain yang turut mempunyai hubungan politik dalam landskap pentadbiran negara.
Kalah PRN Melaka bukan pengakhiran perjuangan: Mohamad Sabu
PAS tiada sebab serah jawatan PM kepada UMNO – Kadir Jasin
Tindakan Timbalan Speaker bahas Belanjawan 2027 cetus bantahan MP
MP Pasir Gudang disiasat berhubung sajak ‘Patik Tak Rela’ kritik isu Najib
Menang besar Melaka, BN tidak mahu terburu-buru adakan PRN di negeri lain: Zahid
[VIDEO] Berita Pilihan Agenda Daily | 16 November 2026
[VIDEO] Jangan pandang rendah kemampuan anak muda: Mukhlis