Sidang media penganjuran Perhimpunan Melayu Berdaulat 3.0 di Kuala Lumpur.
Penganjuran Perhimpunan Melayu Berdaulat 3.0 pada 24 Mei ini akan diteruskan seperti yang dirancang walaupun ia bertindih dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung di ibu negara.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Syed Hassan Syed Ali berkata setakat ini mereka akan meneruskan perhimpunan tersebut dan memberi jaminan tidak akan tercetus kekecohan atau gangguan terhadap Sidang ASEAN nanti.
Katanya, perhimpunan anjuran gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dijadualkan bermula pukul 2.30 petang di hadapan Kompleks Sogo dan dilaksanakan secara aman mengikut undang-undang sedia ada.
“Perhimpunan ini bukanlah satu rusuhan, tetapi hanyalah luahan kegusaran rakyat yang semakin tertekan melihat hak Melayu dan Islam semakin terhakis,” katanya semasa sidang akhbar hari ini.
Tambahnya, perhimpunan kali ini bertujuan memperlihatkan penyatuan bangsa Melayu merentasi fahaman politik di negara.
“Perhimpunan ini yang terbesar dianjurkan sekretariat sejak tiga tahun lalu dan dijangka menghimpunkan hampir 10 badan NGO termasuk dari luar Lembah Klang.
“Surat jemputan telah dihantar kepada semua parti politik Melayu dan lima sudah sahkan penyertaan termasuk PAS, Bersatu, Parti Pejuang, dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa),” katanya.
Katanya, sekretariat telah memaklumkan penganjuran perhimpunan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menjangkakan kerjasama yang baik untuk memastikan kelancaran himpunan itu nanti.
“Fokus utama tetap diberikan kepada wakil NGO-NGO Melayu kerana perhimpunan itu digerakkan atas inisiatif akar umbi yang ingin memperjuangkan kepentingan bangsa dan agama secara bersama.
“Kami telah kenal pasti empat lokasi berkumpul iaitu Masjid Jamek, Masjid Jamek Kampung Baru, Jalan Raja Laut berdekatan pejabat Pas pusat dan Kelab Sultan Sulaiman. Peserta juga digalakkan berpakaian putih sebagai simbol solidariti,” katanya.
Mengulas dakwaan himpunan berisiko menimbulkan ketegangan kaum, Syed Hassan menafikannya dan berkata, mereka tidak akan menyentuh isu kaum lain atau menghina mana-mana agama.
“Kita hanya bercakap tentang isu Melayu dan Islam yang makin diketepikan. Kalau masa BERSIH dulu, bangsa lain boleh berhimpun tanpa halangan, kenapa kita tak boleh berhimpun untuk hak sendiri secara aman?” katanya.
Dalam perkembangan sama, program selawat dan munajat turut dianjurkan oleh wakil wanita daripada NGO terbabit bermula pukul 11 pagi di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru sebagai pengisian rohani menjelang perhimpunan utama.
Kesan krisis bekalan global dijangka dirasai sebulan dua lagi: Tengku Zafrul
Majikan diseru lebih prihatin terhadap pekerja: PMX
Global Sumud Flotilla: Nasib 10 aktivis Malaysia masih belum diketahui
Anwar rayu sokongan rakyat hadapi tekanan ekonomi
Kapal bantuan Gaza dipintas, Malaysia kecam tindakan tentera Zionis: Fahmi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan