Perdana Menteri Anwar Ibrahim merasmikan majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral di Stesen Keretapi Ipoh. Foto Kredit: PMO
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kejayaan besar kerajaan dalam memerangi rasuah dengan merampas aset bernilai RM5 bilion dalam tempoh setahun lalu.
Anwar menegaskan pencapaian tersebut membuktikan kesungguhan Kerajaan Madani membersihkan sistem pentadbiran negara daripada amalan korupsi yang lama membelenggu.
“Ada pihak yang sinis dengan gerakan anti-rasuah kita. Hari ini saya buktikan, dalam setahun sahaja kita berjaya merampas RM4 hingga RM5 bilion daripada pelbagai agensi termasuk kementerian, imigresen, kastam, malah melibatkan tokoh politik,” kata Anwar ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral di Stesen Keretapi Ipoh hari ini,
Turut hadir Menteri Besar Perak Saarani Mohamad dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Anwar menekankan era projek mega dengan komisen dan sogokan sudah tamat di bawah pentadbiran beliau.
“Dulu ada budaya – nak bina bangunan 15 tingkat minta ‘saguhati’, kalau 20 tingkat lagi banyak. Ini semua mesti dihentikan. Setiap projek mesti dilaksanakan dengan telus untuk manfaat rakyat,” jelasnya.
Perdana Menteri turut menyentuh langkah kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat termasuk pelarasan gaji sektor awam dan dasar gaji minimum syarikat berkaitan kerajaan (GLIC).
“Kita tetapkan gaji permulaan minimum GLIC sekitar RM3,100. Syarikat besar lain juga perlu ikut contoh ini,” katanya.
Mengenai projek Ipoh Sentral bernilai RM6.25 bilion, Anwar menyifatkannya sebagai projek perintis penting kerangka pembangunan Madani yang menekankan konsep Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).
“Saya minta semua kementerian terlibat kaji semula setiap aspek. Ipoh Sentral boleh jadi model pembangunan terbaik negara jika dirancang dengan sempurna,” ujar Anwar.
Projek selama dua fasa di kawasan seluas 67 ekar ini akan merangkumi taman awam mercu tanda, masjid baharu, integrasi rumah ibadat sedia ada, serta pembangunan bercampur termasuk perumahan, pejabat, pusat niaga dan hotel. Ia dijangka mencipta 8,000 peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi Perak.
“Pembangunan bukan sekadar bina bangunan, tapi perlu utamakan kemanusiaan, kemampanan dan kesejahteraan komuniti,” kata Anwar mengakhiri ucapannya.
Rundingan jadi kunci redakan isu BN-PH di Negeri Sembilan: Zahid
Zahid tolak langkah ‘tebuk atap’ di Negeri Sembilan: Loke
Sayap pemuda DAP desak pecat Tok Mat, dakwa jejaskan kestabilan kerajaan
Keputusan 14 ADUN dihormati, namun sokongan kepada kerajaan Negeri Sembilan diteruskan
Krisis Negeri Sembilan isyarat jelas UMNO mahu bertanding solo PRU-16: Rafizi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan