Rosmah Mansor.
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Rosmah Mansor untuk melanjutkan tempoh pelepasan pasportnya selama tiga bulan bagi membolehkannya melawat anak perempuannya di Singapura.
Panel tiga hakim diketuai Azman Abdullah bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid membenarkan isteri bekas Perdana Menteri, Najib Razak itu menyimpan pasportnya sehingga akhir Januari tahun depan.
Permohonan itu dikemukakan peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader di mahkamah hari ini dan permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, P Sarulatha yang mewakili pihak pendakwaan.
Selepas prosiding, Akberdin memaklumkan kepada media, permohonan lanjutan itu dibuat bagi membolehkan Rosmah menziarahi anak perempuannya yang melahirkan anak keempat awal tahun ini.
Akberdin berkata, Rosmah perlu memulangkan semula pasport kepada mahkamah pada 31 Januari tahun depan.
Mahkamah sebelum ini membenarkan Rosmah menyimpan pasportnya bermula 24 Julai tahun ini hingga hari ini.
Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi mendapati Rosmah, 73, bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk sekolah di Sarawak.
Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan yang diperintah berjalan serentak, menjadikan tempoh keseluruhan penjara 10 tahun dan denda RM970 juta, dengan 30 tahun penjara jika gagal membayar denda.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda itu sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Rayuan, yang dijadualkan untuk pengurusan kes pada 3 November ini. – Bernama
560 kes kandungan memudaratkan berjaya diselesaikan MCMC
SPRM jejak dokumen pelaburan KWAP di tiga negara
Polis panggil sanusi, pemimpin UMNO bantu siasatan
Anwar tegas martabatkan bahasa Melayu, perluas penguasaan bahasa asing
Aminuddin gesa tindakan tegas terhadap pihak hina institusi diraja
[VIDEO] Rekod Tok Min sukar ditandingi, ‘hantu DAP’ jadi modal UMNO-PAS
[VIDEO] Peguam PH dakwa kenyataan Asyraf Wajdi boleh kelirukan rakyat, gesa PDRM dan SPR siasat