Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) dengan Amerika Syarikat adalah penting sebagai mekanisme perlindungan ekonomi untuk Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri memberi amaran negara berdepan risiko besar, termasuk kehilangan akses ke pasaran AS yang mencecah hampir RM200 bilion tahun lepas, sekiranya tidak menyertai perjanjian ini.
Menurut Tengku Zafrul, lebih satu juta peluang pekerjaan dan 7,700 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut berisiko terjejas ekoran gangguan rantaian bekalan dan peralihan pelaburan ke negara lain.
“Dengan ART, Malaysia boleh mengekalkan daya saing global, melindungi eksport bernilai tinggi terutama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan semikonduktor yang memberikan kepastian kepada pelabur dan mengelak tindakan tarif unilateral,” jelasnya semasa sidang media di Parlimen.
Beliau menolak dakwaan perjanjian ini hanya menguntungkan AS dan menggadai kedaulatan negara.
“Perjanjian itu tidak mengikat dasar domestik Malaysia dan tidak memerlukan liberalisasi tarif atau pembukaan pasaran yang tidak seimbang. ART tidak menyentuh isu-isu sensitif seperti makanan, data, pertahanan atau keselamatan dalaman,” tegasnya sambil menekankan Malaysia mengekalkan lebihan perdagangan yang besar dengan AS iaitu sebanyak RM75 bilion tahun lalu.
Mengenai hubungan dengan China, Zafrul menafikan sebarang kesan negatif.
“Ini bukan perjanjian geopolitik. Ia perjanjian perdagangan,” ujarnya.
Tambah beliau, Malaysia terus mengekalkan akses kukuh ke pasaran lain melalui FTA ASEAN-China, RCEP dan CPTPP.
Beliau juga menolak dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan ART menjejaskan hak Bumiputera dengan menyatakannya sebagai fitnah.
“Sepanjang rundingan, hak Bumiputera antara salah satu garisan merah kami. Ia langsung tidak terjejas.
“Saya cabar Tun M untuk menunjukkan klausa yang kononnya memberikan status Bumiputera kepada syarikat AS,” katanya.
Sementara itu, beliau menggesa Ahli Parlimen agar menumpukan perbincangan kepada hasil keseluruhan ART.
“Kita mesti melihat hasil, adakah perdagangan kita akan terjejas, adakah ekonomi kita akan terjejas,” katanya.
Setakat ini, tiada rancangan untuk mengkaji semula perjanjian itu, dan sebarang semakan pada masa depan memerlukan persetujuan bersama.
Projek RM1.1 bilion: Bekas pembantu Rafizi sambung beri keterangan esok
Krisis politik Negeri Sembilan: Persatuan peniaga bimbang ekonomi negeri terjejas
Seorang individu didenda RM30,000 hina institusi kehakiman di FB: MCMC
Permohonan pindah kes rasuah Shamsul Iskandar ditolak mahkamah
Malaysia kekal terbuka terima pelabur, tapi kedaulatan diutamakan: Anwar
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan