UMNO.
UMNO memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya berlangsung tahun ini bagi memberi tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang berlangsung hari ini.
Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penangguhan tersebut dipersetujui sebulat suara oleh kepimpinan tertinggi parti.
“Mesyuarat bersetuju untuk menangguhkan Pemilihan UMNO yang dijadualkan pada tahun ini kepada satu tarikh yang tidak melebihi enam bulan selepas PRU-16,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Beliau menjelaskan langkah itu penting bagi memastikan seluruh jentera parti di peringkat pusat, bahagian dan cawangan berada dalam keadaan siap siaga.
“Ini bagi memastikan seluruh jentera parti dipersiapkan untuk menghadapi kemungkinan PRN dan PRU-16 yang boleh diadakan pada bila-bila masa bermula tahun ini,” tambahnya.
UMNO sebelum ini mengadakan pemilihan parti pada 2023, menyaksikan barisan kepimpinan baharu dipilih bagi tempoh tiga tahun.
Namun, dengan landskap politik negara yang masih dinamik serta spekulasi mengenai tarikh pilihan raya yang boleh diumumkan lebih awal, parti itu dilihat mahu mengelakkan pertembungan antara agenda pemilihan dalaman dan persiapan pilihan raya.
Selain itu, mesyuarat turut memperincikan jadual persidangan tahunan parti bagi tahun hadapan.
Persidangan Tahunan Cawangan dijadualkan berlangsung dari 1 April hingga 17 Mei, diikuti Mesyuarat Perwakilan Bahagian bermula 1 Jun hingga 12 Julai.
Perhimpunan Agung UMNO 2026 pula ditetapkan pada 12 hingga 16 Ogos depan.
Keputusan menangguhkan pemilihan ini mencerminkan strategi parti untuk memperkukuh organisasi dan mengelakkan sebarang perpecahan dalaman menjelang pilihan raya.
Fokus kini terarah kepada memperkemas gerak kerja dan menyatukan kekuatan akar umbi dalam usaha mengembalikan sokongan pengundi pada PRN dan PRU-16 nanti.
Bekas pegawai khas Najib, aktivis UMNO diperintah bayar RM433,000 kepada pendakwah
Johari tegur menteri gagal jawab soalan Ahli Parlimen
Saifuddin: Minit pengampunan Najib perlu untuk afidavit AGC dan dinyahklasifikasi
Zahid janji GST kembali jika BN kuasai Putrajaya
Konvensyen Amanah lulus usul bantah tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan