Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias nafi berniat menjadi pengganti Menteri Besar, Aminuddin Harun.
Jalaluddin Alias menafikan berhasrat untuk menjadi Menteri Besar susulan keputusan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Aminuddin Harun.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan itu berkata soal pelantikan Menteri Besar bukan ditentukan oleh UMNO atau BN, sebaliknya merupakan bidang kuasa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Ini bukan matlamat kita. Perbincangan yang dibuat bukan untuk menentukan siapa jadi Menteri Besar, dan saya sendiri bukan nak jawatan itu. Jangan salah faham,” katanya pada sidang media di Wisma UMNO Negeri Sembilan.
Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang menjelaskan, beberapa nama lain turut layak dipertimbangkan, termasuk Mohd Faizal Ramli dan Mustapha Nagoor, namun keputusan akhir tetap bergantung kepada budi bicara istana.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan permohonan untuk menghadap Tuanku Muhriz telah dihantar bagi mempersembahkan keputusan BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar.
Bagaimanapun, setakat ini beliau masih belum menerima tarikh menghadap.
Krisis politik di Negeri Sembilan tercetus apabila BN mengambil langkah mengejut menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kestabilan pentadbiran sedia ada.
Situasi ini mengingatkan kepada beberapa episod ketidaktentuan politik di peringkat negeri dan Persekutuan sebelum ini yang turut memberi kesan kepada pentadbiran.
Mengulas kenyataan Aminuddin mengatakan kerajaan negeri masih mempunyai tempoh sehingga enam bulan sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) seterusnya, Jalaluddin berpendapat langkah itu tidak wajar.
“Jika keadaan ini dibiarkan berlarutan, kerajaan akan berada dalam situasi tidak stabil dan penuh ketidaktentuan. Banyak masalah boleh timbul,” katanya.
Beliau menegaskan sidang khas DUN perlu diadakan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlaku.
“Untuk kestabilan negeri, saya berpandangan sidang khas DUN perlu dipanggil segera supaya segala isu dapat diputuskan demi kepentingan kerajaan dan rakyat,” ujarnya.
Saman fitnah: Pengarah Strategi Pemuda PAS Perak diarah bayar RM250,000
Parti Amanah nafi terlibat dalam isu dana zakat
Krisis Negeri Sembilan tak beri kesan kepada kerajaan pusat: Fahmi
Krisis Negeri Sembilan: UMNO nafi ‘tebuk atap’, desak bubar DUN
Krisis Negeri Sembilan tak gugat kestabilan Kerajaan Perpaduan: PMX
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan