Penjawat awam rugi RM342,400 terperdaya phone scam

March 10, 2026 · Isu semasa

Seorang penjawat awam kerugian hampir RM350,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan melalui panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis dan timbalan pendakwa raya.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata, mangsa lelaki berusia 43 tahun itu membuat laporan selepas menyedari wang simpanannya berkurangan sebanyak RM342,400 akibat dipindahkan secara berperingkat tanpa pengetahuannya.

Menurutnya, kejadian bermula pada Disember 2024 apabila mangsa menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai ejen insurans berhubung tuntutan perubatan yang kononnya dibuat atas nama mangsa.

“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis dan memaklumkan mangsa mempunyai waran tangkap berkaitan kes pengubahan wang haram serta rasuah,” katanya dalam kenyataan.

Yahaya berkata, mangsa kemudiannya dihubungi seorang lagi suspek yang menyamar sebagai timbalan pendakwa raya dan menawarkan jalan penyelesaian dengan syarat mangsa membayar wang ikat jamin sebanyak RM320,000.

Bagi memenuhi arahan itu, mangsa membuat pinjaman peribadi daripada sebuah bank tempatan pada hujung 2024 selain mengikuti semua arahan suspek termasuk membuka kad bank baharu serta mengemas kini nombor telefon kononnya bagi membantu siasatan.

Sepanjang tempoh 2024 hingga 2025, mangsa terus menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai pihak berkuasa dan diarahkan supaya tidak memaklumkan perkara itu kepada sesiapa kerana kononnya siasatan dijalankan secara sulit.

“Mangsa mempercayai semua arahan tersebut kerana menyangka individu terbabit benar-benar pegawai pihak berkuasa yang mengendalikan kesnya,” katanya.

Namun pada Januari lalu, mangsa menerima surat daripada sebuah firma guaman yang memintanya hadir ke Mahkamah Tinggi Kuantan berhubung notis kebankrapan, sekali gus menimbulkan kecurigaan.

Selepas membuat semakan akaun bank awal bulan ini, mangsa mendapati sejumlah RM342,400 telah dipindahkan keluar tanpa pengetahuannya. Mangsa cuba menghubungi suspek tetapi gagal sebelum menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.

Phone scam merupakan antara modus operandi jenayah komersial yang sering dilaporkan di negara ini, di mana suspek menyamar sebagai pegawai pihak berkuasa bagi menakutkan mangsa supaya memindahkan wang.

Yahaya menasihati orang ramai supaya membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan sekiranya menerima panggilan mencurigakan.

“Orang ramai juga digalakkan menyemak nombor akaun melalui portal Semak Mule sebelum membuat transaksi serta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 jika mengesyaki menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Berita berkaitan
MCMC siasat Facebook gagal sekat video serangan guru: Fahmi
1 jam lalu· Isu semasa
Jangan tular video insiden sekolah: MCMC
October 22, 2026· Isu semasa
Parlimen: NSRC selamatkan jutaan ringgit wang mangsa scam
October 22, 2026· Isu semasa
MCMC siasat akaun FB Chegubard hina institusi diraja, telefon bimbit dirampas
October 21, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Peminjam PTPTN bergaji RM2,500 hanya perlu bayar RM50 sebulan: Adam Adli
1 jam lalu · Isu semasa
Peguam kelahiran Malaysia dilantik ketua rangkaian guaman global
1 jam lalu · Isu semasa
Tiada syarikat malaysia terbabit pembakaran hutan Indonesia: Fahmi
3 jam lalu · Isu semasa
Anwar: Waze mungkin diharamkan demi keselamatan negara
3 jam lalu · Isu semasa
BDS sokong larangan Waze, minta pertimbang juga tamatkan kontrak AWS
4 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok