Hanya 10 kategori pengguna boleh membeli petrol dan diesel melebihi 20 liter.
Kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter walaupun pasaran minyak global berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu bukan mudah namun kerajaan memilih untuk mengekalkan harga berkenaan bagi melindungi kebajikan rakyat ketika kos tenaga dunia meningkat.
“Saya telah memaklumkan untuk menetapkan harga Budi95 untuk rakyat. Ini satu keputusan sukar tetapi akan dikekalkan pada RM1.99 seliter walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi,” katanya semasa sidang media khas mengenai perkembangan konflik Asia Barat di pejabatnya di Putrajaya.
Menurutnya, harga sebenar petrol di pasaran antarabangsa jauh lebih tinggi berbanding harga yang dinikmati rakyat Malaysia ketika ini.
Katanya, jika dibandingkan dengan negara jiran, harga petrol di negara tersebut boleh mencecah sehingga tiga kali ganda lebih mahal.
Anwar turut memberi jaminan bahawa bekalan petroleum negara masih mencukupi selepas semakan dibuat bersama Petronas.
“Bekalan produk petroleum negara didapati mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei,” katanya.
Ketidaktentuan pasaran minyak dunia ketika ini berpunca daripada konflik di Asia Barat yang turut menjejaskan laluan strategik penghantaran minyak di Selat Hormuz.
Gangguan di laluan itu dilaporkan menyebabkan lebih 400 kapal tangki minyak terkandas, sekali gus menolak harga minyak mentah Brent Crude Oil sehingga sekitar AS$119 setong pada 9 Mac lalu.
Walaupun harga kini turun di bawah paras AS$90 setong, Anwar berkata pasaran masih tidak stabil dan boleh memberi kesan kepada harga petrol dan diesel di seluruh dunia.
Pada masa sama, kerajaan juga memperketat penguatkuasaan bagi mengelakkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan bahan api bersubsidi.
Tugas itu diselaraskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Anwar berkata kerajaan memahami kebimbangan rakyat terhadap kesan kenaikan harga minyak global, namun menegaskan keadaan dalam negara masih terkawal.
“Kita akan terus memantau perkembangan di Asia Barat dan mengambil langkah perlu supaya kepentingan rakyat serta ekonomi negara terus terpelihara,” katanya.
Kes bunuh 61 tikaman: Mangsa baharu seminggu sambung semester baharu
Global Sumud Flotilla: 10 rakyat Malaysia sudah dibebaskan
Kes bunuh 61 tikaman: Empat individu direman Polis Kelantan
Ebit Lew diperintah bela diri kes gangguan seksual
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan