Aktivis politik Faizan Mohd Nor hadir bersama beberapa penyokong PKR mendesak agar Rafizi berundur.
Tekanan terhadap Rafizi Ramli untuk meninggalkan pentas politik kembali meningkat apabila sekumpulan aktivis dan penyokong PKR menyerahkan memorandum buat kali kedua di pejabatnya di Sungai Besi hari ini.
Kumpulan itu diketuai aktivis politik Faizan Mohd Nor, yang hadir bersama beberapa penyokong dengan membawa mesej tegas agar Ahli Parlimen Pandan itu berundur, turut kelihatan ialah pengasas PKR, Ng Lum Yong.
Menurut Faizan, tindakan kali kedua itu diambil selepas memorandum pertama yang dihantar sebelum ini tidak menerima sebarang maklum balas.
“Ini kali kedua kami datang. Kami mahu beliau mengambil tanggungjawab dan berundur sahaja,” katanya dipetik laporan media.
Beliau menegaskan desakan tersebut bukan bersifat peribadi, sebaliknya dibuat atas pertimbangan kepentingan politik negara dan masa depan kepimpinan.
“Kami berpandangan beliau telah gagal sebagai ahli politik, wakil rakyat dan juga ketika memegang jawatan dalam kerajaan sebelum ini,” katanya.
Tambahnya, kegagalan itu didakwa memberi kesan kepada keyakinan rakyat serta kestabilan politik dan ekonomi.
“Apabila keyakinan terhadap kepimpinan merosot, ia memberi kesan rantaian termasuk kepada pelabur, perniagaan dan rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup,” ujarnya.
Sehubungan itu, Faizan berpendapat langkah berundur adalah pilihan terbaik bagi membuka ruang kepada kepimpinan baharu.
“Langkah ini penting untuk memulihkan keyakinan rakyat dan pasaran serta memastikan landskap politik lebih stabil,” katanya lagi.
Terdahulu, kumpulan sama pernah hadir ke pejabat Invoke Solutions milik Rafizi di Sungai Besi bagi menyerahkan memorandum pertama dengan tuntutan serupa.
Rafizi sebelum ini dikenali sebagai antara tokoh penting dalam PKR dan pernah memainkan peranan besar dalam strategi pilihan raya parti itu.
Namun, sejak kebelakangan ini, beliau berdepan kritikan daripada pelbagai pihak yang mempersoalkan prestasi dan hala tuju politiknya.
Fitnah isu takbir: MP PAS dan Harakah minta maaf kepada Menteri Pendidikan
Zahid tolak dakwaan PRN ditangguh kerana takut kalah
DAP akan muktamadkan hala tuju politik semasa Kongres Khas 12 Julai
Tak perlu darurat tangguh PRN: Muhyiddin
Nurul Izzah dicadang bertanding di Parlimen Batu
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan