Najib Razak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, memaklumkan tidak mempunyai maklumat berhubung laporan bekas perdana menteri, Najib Razak telah memfailkan permohonan pengampunan baharu kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
“Saya tidak mempunyai butiran sekarang, jadi saya tidak mahu mengulas mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan sijil pemilikan unit kediaman Program Baiti Jannati @ Wilayah Persekutuan di Desa Rejang, hari ini.
Sebelum ini, laporan media memetik sumber menyatakan Najib, yang kini menjalani hukuman penjara, telah mengemukakan permohonan baharu itu sekitar bulan Ramadan.
Difahamkan, satu salinan permohonan turut dihantar ke Istana Negara.
Namun, butiran lanjut mengenai skop permohonan berkenaan masih tidak jelas, termasuk sama ada ia melibatkan kes SRC International sahaja, kes 1MDB, atau kedua-duanya sekali.
Untuk rekod, Najib disabitkan bersalah dalam kes melibatkan dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta, yang membawa kepada hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Beliau mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada Ogos 2022. Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudian mengurangkan hukuman penjara kepada enam tahun serta denda kepada RM50 juta.
Selain itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut mensabitkan beliau dalam satu lagi kes membabitkan penyelewengan dana RM2.28 bilion, dengan hukuman penjara 15 tahun dan denda kira-kira RM11.4 bilion.
Hukuman tersebut dijadual bermula selepas selesai hukuman kes SRC International. Najib kini sedang dalam proses rayuan bagi kedua-dua kes.
Di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan, penangguhan atau pengurangan hukuman, selain mempengerusikan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Lembaga itu turut dianggotai peguam negara, menteri wilayah persekutuan dan beberapa ahli lain yang dilantik.
Sayap pemuda DAP desak pecat Tok Mat, dakwa jejaskan kestabilan kerajaan
Keputusan 14 ADUN dihormati, namun sokongan kepada kerajaan Negeri Sembilan diteruskan
Krisis Negeri Sembilan isyarat jelas UMNO mahu bertanding solo PRU-16: Rafizi
Spekulasi ADUN UMNO kembali jadi Exco disangkal Jalaluddin
Amirudin enggan layan desakan pecat Exco UMNO di Selangor
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan