Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek.
Kerajaan memberi jaminan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) akan terus dipertahankan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata dakwaan kononnya sekolah vernakular akan ditutup adalah tidak berasas dan tidak perlu dilayan.
Menurutnya, dasar kerajaan kekal jelas dalam memastikan kepelbagaian sistem pendidikan terus dihormati.
“Kerajaan tidak akan menutup SJKT dan SJKC. Kita mempertahankan kedua-dua sekolah ini seperti termaktub dalam Akta Pendidikan. Jadi, masyarakat tidak perlu takut atau terpengaruh dengan sentimen yang tidak benar,” katanya ketika berucap pada program Kalvi Yutham 2026 anjuran Sri Murugan Centre di SJKT Castlefield, Puchong.
Dalam ucapannya, Fadhlina turut menegaskan komitmen kementerian untuk menyelesaikan isu berbangkit melibatkan sekolah Tamil, termasuk aspek penyelenggaraan dan penempatan semula.
Katanya, pertemuan berkala dengan Persatuan Guru Besar SJKT akan diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi memastikan masalah tertunggak dapat diselesaikan segera.
Beliau juga mengingatkan pegawai pendidikan supaya memberi perhatian seimbang kepada semua jenis sekolah.
“SJKC dan SJKT adalah sebahagian daripada sistem pendidikan negara. Semua pelajar, tanpa mengira kaum, adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Mengulas kebimbangan masyarakat India terhadap pemarkahan subjek Pendidikan Moral, beliau berkata Lembaga Peperiksaan Malaysia telah diarahkan untuk meneliti dan menambah baik sistem sedia ada.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan kekal dengan dasar pemberian tawaran automatik ke program matrikulasi bagi pelajar yang memperoleh keputusan 10A.
Bagaimanapun, beliau mengakui pelaksanaannya berdepan cabaran susulan struktur kuota sedia ada.
“Walaupun bukan mudah, kita akan terus mempertahankan peluang adil kepada pelajar cemerlang,” jelasnya.
Sekolah vernakular di Malaysia telah lama menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan nasional sejak sebelum merdeka, dengan perlindungan di bawah Akta Pendidikan yang menjamin kewujudannya.
Isu berkaitan masa depan sekolah ini sering menjadi perdebatan awam, terutama dalam konteks perpaduan dan dasar pendidikan negara.
Fadhlina turut menekankan keperluan pendekatan baharu dalam pengurusan pendidikan.
“Pendekatan lama yang bersifat satu hala sudah tidak relevan. Kini, kerjasama semua pihak penting untuk memastikan sistem pendidikan terus maju,” katanya.
Polis siasat wanita didakwa kasari dua kanak-kanak di pusat beli-belah: Bernama
Isu curi kandungan, Fahmi minta buat laporan kepada Majlis Media
RM259.5 juta tunggakan projek luar bandar perlu dilunaskan: Zahid
Dana kerajaan mesti sampai kepada rakyat, bukan bocor: PMX
25 aduan petrol bercampur air di Perak: KPDN
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum