Mohamed Azmin Ali.
Bersatu menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan negeri memperkukuhkan institusi Islam menerusi kelulusan tiga Rang Undang-Undang (RUU) pada Persidangan Dewan Negeri Selangor yang berlangsung sejak 3 Ogos lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang, Mohamed Azmin Ali menyifatkan kelulusan RUU berkenaan sebagai langkah penting bagi memperkukuhkan pentadbiran agama Islam serta sistem kehakiman syariah di negeri itu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pindaan terhadap Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 2026 memberi pengiktirafan secara jelas pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai asas agama Islam di Selangor.
“Pindaan ini selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, keputusan Majlis Raja-Raja dan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, sekali gus mengukuhkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam penggubalan serta pelaksanaan undang-undang syariah di negeri ini,” kata Azmin.
Azmin yang juga Setiausaha Agung Bersatu turut menjelaskan pindaan tersebut memperkukuhkan kedudukan Mahkamah Syariah melalui pewujudan bab baharu dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, sekali gus mengiktiraf institusi itu sebagai badan kehakiman syariah negeri.
Ia turut memperuntukkan penubuhan Mahkamah Utama Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah bagi memastikan sistem keadilan syariah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memenuhi keperluan semasa.
Menurut kenyataan itu lagi, Azmin berkata RUU berkenaan diluluskan dengan sokongan lebih dua pertiga Ahli Dewan Negeri termasuk wakil rakyat bukan Islam.
“Kelulusan ini membuktikan pengiktirafan terhadap pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor tidak menjejaskan hak serta kedudukan penganut agama lain seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Azmin juga berkata Bersatu turut menyatakan sokongan terhadap RUU Enakmen Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2026 yang disifatkan sebagai pembaharuan penting dalam memperkukuhkan kebebasan, integriti dan kewibawaan institusi kehakiman syariah.
Selain itu, parti berkenaan menyambut baik pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2026 yang dilihat mampu memastikan sistem pentadbiran agama Islam terus relevan serta selaras dengan perkembangan semasa.
Dalam kenyataan sama, Azmin turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor atas pelaksanaan sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan sebelum RUU berkenaan dibentangkan.
Bersatu turut menegaskan komitmen untuk terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor serta menjunjung titah Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam negeri.
Tiga RUU berkenaan diluluskan semasa Persidangan Dewan Negeri Selangor Ke-15 yang sedang berlangsung dan bertujuan memperkukuhkan kerangka perundangan Islam serta institusi kehakiman syariah di negeri itu.
RCI Tabung Haji ditubuh ketika UMNO berkuasa, kenapa dipersoal sekarang? – Mahfuz
PRN Melaka: Amirudin diberi amanah teliti kerjasama PH-BN
Mahu jawatan PM, UMNO perlu bersama dengan PN: PAS Selangor
Akmal sahkan Pemuda UMNO akan hadir Muktamar Pemuda PAS
Adam Adli: Rundingan BN-PH belum bermula, tapi masih terbuka
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri