AMK Selangor: PAS jangan sekadar cakap besar mahu tumbangkan PH

August 17, 2026 · Politik

PAS dan Perikatan Nasional (PN) dialu-alukan untuk mencabar Pakatan Harapan (PH) di Selangor, namun parti itu perlu tampil dengan dasar serta tawaran jelas kepada rakyat, bukan sekadar bercakap mengenai usaha menumbangkan kerajaan negeri.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mohamad Shahrul Adnan berkata, kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN daripada PAS, Muhammad Sanusi Md Nor yang mahu menjadikan Selangor sebagai “titik mula” untuk menumbangkan PH perlu disusuli dengan pembentangan rekod dan perancangan pentadbiran.

“Sanusi mahu tumbangkan PH di Selangor? Silakan. Itu hak PAS dan PN dalam sebuah negara demokrasi. Malah apabila Sanusi mencabar supaya prestasi pentadbiran dibandingkan, kami sambut cabaran tersebut.

“Tetapi sebelum bercakap besar mahu mengambil alih Selangor, PAS perlu menjawab satu persoalan mudah kepada rakyat negeri ini: apa sebenarnya yang PAS mahu tawarkan kepada rakyat Selangor?” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, PAS yang mempunyai wakil dalam Dewan Negeri Selangor perlu membuktikan kesediaan untuk mentadbir menerusi dasar dan perancangan konkrit, termasuk berkaitan ekonomi, pelaburan, perumahan, pengangkutan, infrastruktur, pekerjaan dan kebajikan.

Katanya, usaha mengambil alih pentadbiran negeri tidak memadai dengan kekuatan jentera pilihan raya atau ceramah politik semata-mata.

“Kalau Belanjawan Alternatif pun malas nak buat, tak perlulah sembang mahu tawan Selangor,” katanya.

Shahrul turut mencabar PAS membandingkan prestasi pentadbiran Selangor dengan negeri yang ditadbir parti itu sekiranya mahu menjadikan rekod pemerintahan sebagai ukuran.

Beliau berkata Selangor kekal antara penyumbang utama kepada ekonomi negara serta menjadi pusat penting pelaburan, perindustrian, perdagangan dan peluang pekerjaan.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri sudah membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026-2030 sebagai hala tuju pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Ketika Selangor sedang merancang bagaimana mahu mengembangkan ekonomi, meningkatkan pendapatan rakyat, menarik pelaburan dan memperkukuh pembangunan sehingga 2030, PAS datang ke Selangor bercakap tentang siapa yang mereka mahu tumbangkan,” katanya.

Shahrul berkata rakyat Selangor lebih memerlukan penyelesaian terhadap isu kos sara hidup, perumahan, banjir, pengangkutan dan peluang pekerjaan berbanding politik berasaskan slogan pertukaran kerajaan.

Beliau turut mengingatkan PAS supaya tidak menggunakan sentimen perkauman dan agama sebagai pendekatan politik kerana kekuatan Selangor dibina masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang.

“Kalau PAS mahu menawan Selangor, lawanlah dengan idea, dasar dan prestasi. Jangan cuba menawan Selangor dengan sentimen yang memecah-belahkan rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan Selangor bukan sekadar “titik mula” untuk cita-cita politik mana-mana parti, sebaliknya negeri yang dihuni jutaan rakyat yang mahukan kestabilan, peluang ekonomi dan kehidupan lebih baik.

Berita berkaitan
Zahid mahu jadi PM? Selesaikan dulu isu integriti – AMK
5 jam lalu· Politik
PAS tak perlu diuji, Sanusi bidas cadangan UMNO supaya lepaskan kerusi
5 jam lalu· Politik
Jangan jadi ‘imigresen’ syurga, Islam bukan milik PAS: Amanah Selangor
23 jam lalu· Politik
Syarat UMNO: Adakah PAS sanggup cerai Wawasan sama seperti Bersatu?
September 12, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Jamil Khir didakwa tiga pertuduhan berkaitan kes aset TH
5 jam lalu · Politik
Puad: Zahid mahu PRU-16 dipercepat kerana mahu jadi PM
15 jam lalu · Politik
Parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu hormati mandat diberi rakyat: Azman Abidin
23 jam lalu · Politik
UMNO kekal hingga tamat penggal, PKR sambut baik: Saifuddin Nasution
23 jam lalu · Politik
Bekas menteri bakal didakwa esok berhubung RCI Tabung Haji
23 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok