Arab Saudi mengumumkan denda akan dikenakan kepada jemaah haji tanpa permit.
Kerajaan Arab Saudi menetapkan denda sehingga SR100,000 (RM105,290) terhadap individu yang menunaikan ibadah haji tanpa permit, termasuk pihak yang membantu pelawat memasuki Makkah secara tidak sah.
Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dalam satu kenyataan memaklumkan, penguatkuasaan itu berkuat kuasa sepanjang musim haji bermula 1 Zulqaedah hingga 14 Zulhijjah.
Langkah ini diambil bagi mengawal jumlah jemaah serta memastikan keselamatan dan kelancaran ibadah di tanah suci.
Menurut kementerian itu, individu yang didapati menunaikan atau cuba menunaikan haji tanpa permit boleh dikenakan denda sehingga SR20,000.
Hukuman sama turut dikenakan kepada pemegang visa lawatan yang memasuki atau berada di Makkah dan kawasan tanah suci tanpa kebenaran dalam tempoh tersebut.
“Denda lebih tinggi sehingga SR100,000 akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang memohon visa lawatan bagi individu yang melanggar peraturan haji, termasuk mereka yang membantu kemasukan secara tidak sah ke Makkah,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, tindakan tegas turut dikenakan terhadap mereka yang mengangkut, melindungi atau memberi bantuan kepada pemegang visa lawatan untuk berada di kawasan larangan.
Denda akan digandakan mengikut jumlah individu yang terlibat.
Sebagai langkah tambahan, individu yang menyusup masuk untuk menunaikan haji tanpa permit akan dihantar pulang ke negara asal dan berdepan larangan memasuki Arab Saudi selama 10 tahun.
Mahkamah juga boleh mengarahkan rampasan kenderaan yang digunakan untuk membawa individu tanpa permit ke Makkah, sekiranya kenderaan itu dimiliki oleh pihak yang bersubahat.
Dalam perkembangan sama, kementerian menegaskan mana-mana individu yang dikenakan penalti masih mempunyai hak untuk membuat bantahan dalam tempoh 30 hari, serta mengemukakan rayuan ke Mahkamah Pentadbiran dalam tempoh 60 hari.
Langkah penguatkuasaan ini bukan baharu, sebaliknya sebahagian daripada usaha berterusan Arab Saudi untuk mengawal jumlah jemaah haji yang saban tahun mencecah jutaan orang.
Sistem permit diperkenalkan bagi mengelakkan kesesakan melampau serta memastikan keselamatan, terutama selepas beberapa insiden kemalangan besar dalam sejarah ibadah haji.
“Kami menggesa semua pihak, termasuk rakyat tempatan dan pelawat asing, supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang,” jelas kementerian itu.
Minyak dunia bergolak, harga petrol tanpa subsidi naik 20 sen
Facebook dan TikTok jadi sarang utama kandungan scam
Kerajaan mula kaji sistem cukai hybrid SST-GST: Fahmi
AUKU akan dimansuhkan, pentadbiran universiti diberi nafas baharu: Fahmi
Kes wanita 62 tahun disimbah petrol, dendam jadi motif: Polis KL
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri