Ewon Benedick membidas kritikan yang dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Tindakan Ewon Benedick meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berikutan isu tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah telah disifatkan sebagai lebih bertujuan untuk menarik perhatian semata-mata dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata tindakan Ewon itu sekadar sia-sia kerana Kerajaan Persekutuan sudah menunjukkan komitmen untuk berunding bagi mencari titik pertemuan dalam isu melibatkan isu tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah.
“Setelah perbincangan teliti, Kabinet mencapai kata sepakat untuk tidak merayu keputusan mahkamah mengenai hak 40 peratus hasil Sabah. Ini menunjukkan komitmen kami.
“Namun, kerajaan bersetuju merayu beberapa perkara dalam alasan penghakiman yang mencadangkan kepimpinan Kerajaan Persekutuan sejak 1974 telah menyalahgunakan kuasa.
“Jika kita tidak mencabar penemuan tertentu itu, ia bermakna kerajaan semasa mengakui bagi pihak pentadbiran terdahulu mengenai penyalahgunaan kuasa. Perkara itu boleh membawa implikasi jenayah,” jelas Loke yang juga Menteri Pengangkutan dalam kenyataan media.
Loke juga memaklumkan Jemaah Menteri sebenarnya telah mengadakan mesyuarat khas pada 11 November lalu khusus bagi membincangkan isu kritikal ini.
Isu tuntutan 40 peratus hasil negeri yang termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan ini merupakan isu lama yang berlatarbelakangkan tuntutan sejarah Sabah.
Tuntutan ini merujuk kepada peruntukan kewangan khusus untuk Sabah yang telah menjadi subjek perbincangan dan tuntutan semula oleh negeri ini selama beberapa dekad, dengan mahkamah baru-baru ini memutuskan bahawa Sabah berhak menuntut semula hasil tersebut.
Loke juga menyangkal dakwaan Ewon yang mengatakan Kabinet mengabaikan pandangan Sabah.
“Ewon asyik menekankan isu ini, cuba menjadi wira, namun hakikatnya beliau tidak hadir pada mesyuarat khas Kabinet itu.
“Jika beliau benar-benar berani, mengapa tidak hadir dan berdepan dengan Peguam Negara? Mengapa tidak menyatakan hujahnya secara rasmi? Hakikatnya, beliau mengelak,” ujarnya lagi.
Walaupun Ewon mengumumkan peletakan jawatannya pada 8 November, Loke memaklumkan bahawa secara teknikal, Ewon masih lagi anggota Kabinet memandangkan peletakan jawatan itu hanya akan berkuat kuasa selepas Disember ini.
Mengakhiri kenyataannya, Loke menegaskan komitmen DAP dan Kerajaan Persekutuan.
“DAP dan Kerajaan Persekutuan kekal komited bekerjasama dengan Sabah bagi merealisasikan tuntutan 40 peratus itu secara berperingkat. Sebagai menteri Kabinet, kita mempunyai tanggungjawab memelihara perpaduan Persekutuan.
“DAP Sabah sentiasa menyokong tuntutan ini dan kami konsisten dalam perjuangan ini,” tegasnya.
Rafizi teruskan saman fitnah terhadap Caprice kerana dakwaan rasuah
Seorang MKT UMNO persoal gesaan ganti Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA
PH-BN mungkin runding kerusi elak pertembungan di Melaka: Saifuddin
UMNO perlukan kuasa untuk ‘tikam belakang’, jadi perlu kekal dalam kerajaan: Puad
Kerjasama PH-BN mesti atas dasar hormat, bukan untung sebelah pihak: AMK
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri