Kapal tangki kedua Malaysia dijangka tiba hujung minggu ini.
Enam lagi kapal Malaysia yang masih terkandas di Selat Hormuz dijangka dibenarkan meneruskan pelayaran secara berperingkat, menurut Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi.
Beliau berkata, pihak Iran komited untuk memastikan kapal-kapal berkenaan dapat melalui laluan strategik itu dengan selamat.
“Kami (Iran) akan membenarkan kapal tersebut melalui laluan berkenaan satu demi satu,” katanya ketika ditemui pada Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Luar mengesahkan sebuah daripada tujuh kapal Malaysia yang terkandas telah diberikan laluan selamat dan kini sedang meneruskan perjalanan ke destinasi akhir.
Perkembangan itu hasil usaha diplomatik antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada 26 Mac lalu.
Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan paling penting di dunia, dengan kira-kira 20 peratus bekalan minyak mentah dan gas global melalui kawasan sempit itu setiap hari.
Namun, situasi di laluan tersebut menjadi tegang susulan serangan berterusan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas wilayah serta kemudahan Iran sejak akhir Februari.
Ketegangan itu telah mengganggu aliran perdagangan tenaga global, menyebabkan kekurangan bekalan bahan api dan peningkatan harga minyak di pasaran antarabangsa.
Implikasinya turut dirasai oleh ekonomi negara-negara yang bergantung kepada import tenaga, termasuk Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Iran dilaporkan mengehadkan laluan di Selat Hormuz kepada kapal dari negara yang dianggap tidak bermusuhan.
Walau bagaimanapun, Tehran memberi jaminan akan memudahkan pergerakan kapal yang dibenarkan demi memastikan keselamatan dan kelancaran pelayaran.
Kerajaan cadang wajibkan pengiklan dalam media sosial sahkan identiti, elak scam
Anwar ajak rakyat tolak kebencian sempena Hari Wesak
Anwar umum kenaikkan Geran Interim kepada Sabah RM1.5 Bilion
Amanah Selangor bidas Liu berhubung isu ladang babi
Anwar tegas mahu Sabah, Sarawak terus maju
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi