Kalaimughilan (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap tindakan seorang individu memuat naik gambar menghina Anwar di IPD Ipoh pada Jumaat.
PKR Cabang Tambun membuat laporan polis terhadap seorang individu yang disyaki memuat naik grafik berunsur penghinaan terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Gambar tersebut didakwa dimuat naik oleh seorang wanita yang dipercayai bekerja di sebuah bank.
Timbalan Ketua PKR Cabang Tambun, Kalaimughilan Arjunan, menyifatkan grafik yang menggambarkan Perdana Menteri berpakaian bendera Israel dan memakai tanda pottu yang berunsurkan agama Hindu sebagai satu penghinaan yang serius.
Beliau berkata tindakan sebegini tidak wajar dilakukan oleh mana-mana pihak, tanpa mengira perbezaan pendirian politik.
“Kami melihat perkara ini amat serius dan perlu dihentikan segera. Dalam sejarah pentadbiran negara, tidak pernah tahap penghinaan terhadap seorang Perdana Menteri setinggi ini seperti yang berlaku semasa pimpinan Datuk Seri Anwar,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh semalam.
Beliau menambah, laporan polis tersebut dibuat bagi membolehkan siasatan mendalam dijalankan terhadap individu terbabit.
Kalaimughilan juga menggesa PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil tindakan tegas.
“Negara kita mendapat perhatian dunia ketika Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini disebabkan Datuk Seri Anwar, tetapi rakyat kita sendiri menghina pemimpin negara,” ujarnya lagi.
Beliau turut menekankan kebebasan bersuara perlu diamalkan dengan penuh tanggungjawab dan tidak seharusnya melampaui batas sehingga mencemar nama baik pemimpin.
“Kalau ada pandangan atau kritikan terhadap kerajaan, gunakan cara yang betul. Berhujah dengan fakta dan prestasi, bukan melalui penghinaan,” tegasnya.
Laporan polis tersebut dibuat oleh Naib Ketua Cabang, R Elengovan, dan disertai oleh beberapa ahli jawatankuasa cabang.
Tindakan ini diambil bukan sahaja untuk mempertahankan Perdana Menteri selaku Ahli Parlimen Tambun, tetapi juga sebagai satu pengajaran kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial.
PRN Melaka: Zahid mahu jentera BN terima PAS, alu-alukan kerjasama
BN umum 21 calon, Akmal dan Helmy kekal bertanding
Pemimpin MCA keluar majlis pengumuman calon, bantah agihan kerusi di Melaka: Laporan
Zahid: PN hanya dapat tujuh kerusi, tak layan tuntutan lebih-lebih
Saifuddin bidas pembangkang sesama sendiri pun berpecah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum