Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.
Pimpinan dan ahli akar umbi PKR diingatkan supaya tidak alpa dengan kedudukan sebagai kerajaan sehingga melupakan asas perjuangan reformasi yang menjadi tunjang parti sejak penubuhannya.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata setiap pemimpin dari peringkat akar umbi hingga kepimpinan tertinggi perlu terus berpegang kepada nilai perjuangan dan menjaga kepercayaan rakyat.
“Jangan sesekali leka ataupun dibuai berada dalam kedudukan sebagai pemerintah.
“Kita mesti terus menggilap idealisme dan jangan benarkan bibit rasuah merosakkan semangat reformasi,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Gombak 2026.
Beliau menegaskan setiap tindakan pemimpin kini sentiasa diperhatikan oleh rakyat, justeru sikap responsif dan kebertanggungjawaban perlu menjadi keutamaan.
Menurutnya, kedudukan sebagai parti yang telah menerajui Selangor sejak 2008 tidak boleh dijadikan alasan untuk berasa selesa atau berpuas hati.
PKR yang lahir daripada gerakan reformasi pada akhir 1990-an membawa agenda perubahan, ketelusan dan keadilan sosial.
Dalam konteks semasa, Fahmi menekankan cabaran sebenar adalah memastikan nilai tersebut kekal relevan ketika parti berada dalam kerajaan.
Beliau turut menyifatkan cabang Gombak sebagai antara yang paling kukuh dan berperanan penting dalam memperkukuh parti.
“Saya berpesan seikhlas hati, kita semua mewakili kepimpinan negeri dan negara. Platform seperti ini penting untuk saling mengingatkan supaya kita tidak tersasar,” katanya.
Dalam ucapannya, Fahmi juga menyentuh keupayaan pentadbiran Kerajaan Madani dalam mengurus cabaran ekonomi global, sambil menegaskan usaha berterusan diperlukan bagi memastikan kestabilan dan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Mengulas spekulasi mengenai kemungkinan Pilihan Raya Negeri di Johor, beliau memaklumkan gerak kerja awal akan dimulakan pada masa terdekat.
“Saya akan turun ke Johor untuk menyusun jentera dan memperkemas persediaan,” katanya lagi.
Henti bertelingkah, utamakan kebajikan rakyat: Anwar
Khairy kembali UMNO sebab nak bertanding kerusi pilihan raya saja: Rafizi
Jangan hanya semasa senang saja nak bersama dengan BN: Zahid
Hisham bersyukur penggantungan ditarik balik, sedia bantu UMNO kembali
ADUN PAS minta MB Perlis jelaskan sebab tangguh sidang DUN
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan