Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
Langkah kawalan ketat di stesen minyak berhampiran sempadan negara mula menunjukkan hasil apabila jualan petrol RON95 mencatatkan penurunan ketara sebanyak 20 peratus dalam tempoh singkat.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan pemantauan antara 13 hingga 21 April lalu, penurunan itu berlaku seiring dengan peningkatan jualan RON97, sekali gus memberi petunjuk aktiviti penyelewengan bahan api berjaya dikekang.
“Perkembangan ini membuktikan strategi kerajaan berada di landasan tepat untuk menutup ruang kebocoran bahan api yang sebelum ini dipercayai disalah guna pihak tidak bertanggungjawab,” katanya kepada media selepas lawatan kerja di Pos Kawalan PGA di Jeti Teluk Ewa.
Operasi bersepadu melibatkan polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) kini ditempatkan di 170 stesen minyak berisiko tinggi, khususnya di kawasan berhampiran sempadan darat dan perairan.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Op Tiris yang dilaksanakan bagi membanteras aktiviti penyeludupan bahan kawalan.
Menurut beliau, kejayaan operasi itu turut dapat dilihat melalui tindakan penguatkuasaan di Kedah, apabila sebanyak 58 kes rampasan direkodkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
“Sebanyak 33,586 unit barangan dirampas dengan nilai keseluruhan lebih RM121,000. Ini menunjukkan aktiviti penyeludupan masih aktif, namun tindakan kita semakin berkesan,” katanya.
Antara barangan yang dirampas termasuk diesel, petrol, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, gula dan tepung gandum. Diesel mencatatkan nilai rampasan tertinggi, diikuti petrol dan barangan keperluan lain.
Beliau menambah, statistik tersebut menggambarkan bahan api kekal menjadi sasaran utama sindiket penyeludupan, terutama di kawasan sempadan yang sering digunakan sebagai laluan keluar masuk.
Dalam lawatan sama, beliau turut meninjau operasi di Pejabat Imigresen Telaga Harbour di Pantai Kok bagi memastikan kelancaran perkhidmatan dan memahami cabaran semasa petugas.
Pejabat imigresen itu memainkan peranan penting sebagai pintu masuk antarabangsa melalui laluan laut yang menghubungkan Langkawi dengan destinasi serantau seperti Koh Lipe, Thailand.
Kes bunuh 61 tikaman: Mangsa baharu seminggu sambung semester baharu
Global Sumud Flotilla: 10 rakyat Malaysia sudah dibebaskan
Kes bunuh 61 tikaman: Empat individu direman Polis Kelantan
Majikan diseru lebih prihatin terhadap pekerja: PMX
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan