Jabatan Peguam Negara (AGC).
Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung permohonan semakan kehakiman Najib Razak berkaitan titah adendum tidak sama sekali menjejaskan atau mengurangkan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri.
Dalam satu kenyataan hari ini, AGC memaklumkan Hakim Alice Loke Yee Ching, ketika menyampaikan penghakiman lisan, secara jelas mengiktiraf kuasa prerogatif institusi diraja dalam hal pengampunan.
Menurut AGC, kuasa tersebut adalah eksklusif dan tidak boleh dilaksanakan oleh mana-mana pihak lain, namun perlu dijalankan mengikut kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan, kuasa pengampunan hendaklah dilaksanakan berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.
AGC menjelaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi tersebut memperincikan proses pelaksanaan kuasa pengampunan, sekali gus mengukuhkan kedudukan institusi diraja, khususnya dalam pengendalian permohonan pengampunan.
Sehubungan itu, AGC mengingatkan semua pihak agar tidak membuat tafsiran mengelirukan yang boleh mencetuskan kekeliruan awam.
“Sebarang cubaan menghasut atau menggugat ketenteraman awam melalui tafsiran salah terhadap keputusan mahkamah adalah tidak wajar, dan semua pihak perlu menghormati proses rayuan yang sedang diambil,” menurut AGC.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media yang memetik dakwaan peguam Najib bahawa keputusan Mahkamah Tinggi telah mengehadkan kuasa Raja-Raja berhubung pengampunan.
AGC menegaskan dakwaan tersebut tidak benar dan tidak mencerminkan alasan sebenar penghakiman.
Menurut AGC, Mahkamah Tinggi menekankan kuasa pengampunan dijamin di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, namun pelaksanaannya memerlukan pertimbangan Lembaga Pengampunan.
Dalam kes Najib, minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 bagi Wilayah Persekutuan menunjukkan isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan atau diputuskan.
“Mesyuarat itu hanya meneliti permohonan pengampunan penuh, dan keputusan yang dibuat adalah pengurangan hukuman penjara serta denda,” menurut AGC.
Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonan semakan kehakiman Najib selepas mendapati titah adendum berkaitan tahanan rumah tidak wujud dalam keputusan mesyuarat tersebut.
Susulan keputusan itu, Najib akan terus menjalani baki hukuman di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan melibatkan penyelewengan dana SRC International.
PMX mahu tatakelola tanah diperkukuh, pencerobohan dibendung
Subsidi kerajaan turun 40 peratus, bantuan untuk rakyat melonjak
Muhyiddin gesa siasatan telus tragedi Irene Sofiya
Kerangka baharu bagi graduan hadapi dunia kerja era AI: MCMC
Pesara rugi lebih RM300,000 ditipu sindiket pelaburan dalam talian: Bernama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum