Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan berdiam diri dalam menghadapi krisis global yang semakin mencabar, sebaliknya mengambil langkah proaktif demi melindungi kepentingan rakyat.
Menerusi hantaran di X, Perdana Menteri berkata setiap tindakan yang diambil kerajaan adalah tersusun dan berpaksikan keutamaan rakyat, terutama dalam memastikan kestabilan ekonomi dan bekalan tenaga negara.
“Dalam keadaan geopolitik Asia Barat yang kian meruncing dan tidak menentu, kerajaan bertindak lebih awal dan berwaspada dengan mengukuhkan jaringan kerjasama bersama rakan yang diyakini seperti Oman demi memastikan kepentingan rakyat sentiasa dilindungi,” katanya.
Beliau turut menjelaskan usaha tersebut penting bagi memastikan Malaysia kekal berdaya tahan dan tidak terdedah kepada gangguan bekalan tenaga yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat serta operasi perniagaan.
Terdahulu, Anwar menerima kunjungan Pengerusi National Gas Company SAOG Oman, Sh Abdulla Suleiman Hamed Al Harthy di Kuala Lumpur.
Pertemuan itu bertujuan memperkukuh kerjasama strategik serta meneroka peluang pelaburan baharu dalam sektor tenaga.
Menurut beliau, kerjasama dalam perdagangan minyak dan gas asli cecair (LNG) bukan lagi sekadar pilihan, tetapi keperluan mendesak dalam situasi global yang tidak menentu.
“Langkah memperluas kerjasama perdagangan minyak dan gas asli cecair ini bukan sekadar pilihan, tetapi satu keperluan strategik bagi memastikan rantaian bekalan tenaga negara kekal stabil,” katanya lagi.
Ketegangan geopolitik di Asia Barat sejak kebelakangan ini telah memberi kesan kepada pasaran tenaga dunia, termasuk peningkatan harga minyak dan gangguan rantaian bekalan.
Situasi ini mendorong banyak negara, termasuk Malaysia, untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi menjamin keselamatan tenaga jangka panjang.
Kerajaan sebelum ini turut memberi penekanan kepada kepelbagaian sumber tenaga dan hubungan dagang strategik bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran sahaja, sekali gus melindungi ekonomi domestik daripada kejutan global.
1.88 juta rakyat nikmati manfaat MySalam: Fahmi
J-KOM buat laporan polis terhadap Albert Tei buat kecoh di kementerian
Kadar pengangguran naik sedikit pada April: DOSM
Agong tarik balik gelaran ‘Tan Sri’ dianugerah kepada Isa Samad
Cucu dedah dakwa dirogol, warga emas direman enam hari
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi