Logo PAS bukan isu, BN masih runding kerjasama PRN Melaka: Zahid

September 27, 2026 · Politik

Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan PAS berhubung penggunaan logo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun bentuk kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya itu masih belum dimuktamadkan.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa rundingan dengan parti politik berkaitan akan berlangsung minggu ini sebelum keputusan dibawa kepada kepimpinan tertinggi UMNO dan Dewan Tertinggi BN.

“Pada minggu ini kita akan ada perbincangan dengan beberapa pihak, dengan parti gabungan mana, dengan parti mana kita akan bertanding.

“Kita menghormati keputusan yang akan dibuat oleh mereka, logo dan lambang apa yang mereka akan gunakan. Itu terserah kepada mereka,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau turut berada di Melaka pada Sabtu dan mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh berhubung persiapan menghadapi PRN.

Menurutnya, hasil rundingan dengan pihak berkaitan akan dibawa kepada kepimpinan UMNO dan BN sebelum sebarang bentuk persefahaman politik diputuskan.

“Ini untuk kita memuktamadkan bentuk persefahaman atau kerjasama yang perlu kita lakukan apabila Melaka menjalankan pilihan raya,” katanya.

Isu penggunaan logo menjadi perhatian selepas PAS dan Perikatan Nasional (PN) berdepan penggantungan kegiatan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bermula 23 September lalu.

Setiausaha Agung PN merangkap Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata, PN tidak menolak kemungkinan menggunakan logo PAS atau parti komponen lain sekiranya penggantungan itu masih berkuat kuasa ketika PRN Melaka.

PAS juga dilaporkan tidak mempunyai masalah menggunakan logo sendiri bagi memastikan kerjasama politik dapat diteruskan.

Pada Khamis, Pengarah Pilihan Raya PAS, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kepimpinan pusat parti itu masih belum membincangkan secara khusus logo yang akan digunakan pada PRN Melaka.

RoS menggantung semua kegiatan PN di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 selepas mengeluarkan notis meminta penjelasan berhubung aduan diterima. RoS menjelaskan tindakan itu bukan pembatalan pendaftaran PN.

PN pula menyatakan tidak bersetuju dengan asas keputusan berkenaan dan akan mengambil tindakan melalui saluran undang-undang.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat pada 7 Oktober ini bagi menentukan tarikh penting PRN Melaka termasuk hari penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian.

Berita berkaitan
PH-Bersatu masih belum duduk berunding secara rasmi: Fahmi
9 jam lalu· Politik
AMK gesa PAS isytihar Zahid sebagai ‘poster boy’ calon PM
14 jam lalu· Politik
Pertemuan PH-Bersatu sekadar makan malam: Adam Adli
14 jam lalu· Politik
Pemimpin PH-Bersatu bertemu, rundingan PRN Melaka?
14 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Gagal isytihar wang tunai ditemui SPRM dan emas: Ismail Sabri mahu cabar pertuduhan
11 jam lalu · Politik
Loke hantar surat letak jawatan, berkuat kuasa bila Najib pulang ke rumah
11 jam lalu · Politik
Krisis Negeri Sembilan: 10 bekas Exco terima arahan pulangkan kenderaan rasmi
September 28, 2026 · Politik
Anwar, Wan Azizah beri penghormatan terakhir kepada Siti Hasmah
September 28, 2026 · Politik
Saravanan bersama keluarga hadir ke SPRM terima notis isytihar harta
September 28, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok