Anthony Loke.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mahu membuktikan dirinya sebagai ahli politik yang berpegang kepada prinsip ‘cakap serupa bikin’ apabila mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa semalam.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat secara tegas dan jelas selaras dengan pendirian yang telah dinyatakannya secara terbuka hampir dua bulan lalu.
Menurut Loke, kepercayaan masyarakat terhadap ahli politik semakin terhakis berikutan tanggapan golongan itu sering gagal menunaikan janji atau tidak melaksanakan perkara yang diperkatakan.
Katanya, berdasarkan pelbagai kajian, ahli politik antara profesion yang paling kurang dipercayai masyarakat kerana sering dikaitkan dengan sikap tidak konsisten antara percakapan dan tindakan.
“Ramai yang berpandangan, cakap tak serupa bikin, bikin tak serupa cakap. Tetapi saya nak pilih sebagai seorang ahli politik yang cakap serupa bikin.
“Maksudnya, apa yang saya katakan, apa yang saya cakap itu akan saya buat, akan saya laksanakan dan bukan kata-kata omong kosong,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Majlis Cahaya MADANI sempena sambutan Deepavali bersama warga kementerian, hari ini.
Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, kredibiliti merupakan aset paling penting bagi seseorang ahli politik kerana ia menentukan tahap kepercayaan masyarakat terhadap kepimpinannya.
Menurutnya, seseorang mungkin kehilangan jawatan, namun perkara itu tidak sepatutnya menyebabkan seseorang menggadaikan prinsip dan kredibiliti semata-mata mahu mempertahankan kedudukan.
“Jawatan boleh hilang tetapi kredibiliti itu mesti dikekalkan. Bagi saya, kata-kata saya itu ialah kredibiliti diri saya.
“Kalau seseorang itu tidak ada kredibiliti, apa yang disebut, apa yang dicakap dan apa yang dibuat pun orang tidak percaya,” katanya.
Beliau turut menjelaskan prinsip berkenaan menjadi pegangan hidup yang dipelajari daripada bapanya, iaitu setiap perkara yang dijanjikan perlu ditunaikan walaupun berdepan kesukaran.
Katanya, seseorang perlu bertanggungjawab terhadap setiap kenyataan yang dibuat kerana ia mencerminkan integriti dan keperibadian diri.
“Apabila kita cakap sesuatu, kita kena tunaikan, kita kena buat. Walaupun kadangkala pahit, walaupun kadangkala sukar, tetapi apabila sudah sebut, itulah yang sepatutnya menjadi pegangan kepada kita,” katanya.
PKR tidak bertanding PRN Sarawak, hormati kerjasama dengan GPS
Isu minit pengampunan Najib, Polis mungkin panggil Tony Pua
PH Negeri Sembilan desak kemelut politik diselesaikan segera
PAS masih jadi rebutan, Idris persoal pihak yang mahu kerjasama
Bekas pegawai khas Najib, aktivis UMNO diperintah bayar RM433,000 kepada pendakwah
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib